Raja Azura Belum Sedia Cari Pengganti

KUALA LUMPUR ― Tujuh tahun bergelar ibu tunggal, pelakon Raja Azura belum bersedia mencari pengganti untuk dijadikan teman hidup.

Azura, 45, berkata hatinya masih belum terbuka dan waktu ini digunakan sebaiknya untuk membesarkan anak-anak. 

“Masa ini bukan untuk saya menerima. Hati saya belum terbuka untuk menerima pasangan hidup. Saya mahu membesarkan anak-anak. Itu yang paling penting.

“Kalau sampai masa jodoh ditakdirkan Allah, saya terima dengan hati terbuka tanpa memilih apa status sekali pun,” katanya, lapor MMO.

Pelakon filem Ghazal Untuk Rabiah bercerai dengan anak bekas menteri besar Kedah, Adzmin Osman pada September 2010.

Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak selepas mendirikan rumah tangga selama sembilan tahun.

Peserta Gegar Vaganza musim keempat ini tersingkir minggu lalu selepas mendapat markah rendah ketika menyanyikan Perhaps.

Azura berkata sukar membayangkan ciri-ciri calon suaminya kerana enggan mendahului apa yang sudah ditakdirkan Allah.

Katanya, walau keberatan untuk berkongsi kasih dengan wanita lain, namun tiada siapa yang dapat meramal jodoh pada masa depan.  

“Tidak tahu sebab saya tidak pernah terfikir. Saya berserah kepada Allah yang maha mengetahui apa yang kita mahu dalam hidup kita. 

“Susah nak cakap. Itu takdir Tuhan. Kalau kita tidak mahu, sekali itu yang datang.

“Cakap itu satu doa. Baik kita jangan meminta atau memikirkan. Ikut saja haluannya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *