Polis Tahan Pasangan Kekasih Disyaki Campak Bayi Dalam Sungai

Polis hari ini telah menahan sepasang kekasih muda bagi membantu siasatan berhubung tindakan tidak berperikemanusian membuang bayi yang baru dilahirkan ke dalam sungai.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Raub Selamat berkata, pasangan kekasih berusia 19 dan 21 tahun itu dipercayai membuang bayi lelaki tersebut di Sungai Kenawar, di sini, semalam.

Beliau berkata pasangan itu ditahan ketika remaja perempuan berkenaan berada di wad kecemasan Hospital Daerah Segamat (HDS) pada jam 4 pagi tadi sewaktu hendak mendapatkan rawatan.

“Kami menerima laporan daripada petugas HDS yang curiga apabila mendapati remaja perempuan berusia 19 tahun itu mengalami pendarahan teruk seperti baru bersalin,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau berkata hasil soal siasat, suspek lelaki yang bekerja di kedai alat ganti kenderaan itu mengaku memasukkan bayi lelaki yang dilahirkan tidak cukup bulan itu ke dalam plastik sebelum membuangnya ke dalam sungai.

Raub berkata bayi malang tersebut yang dianggarkan berusia enam bulan itu dipercayai dilahirkan di rumah keluarga wanita berkenaan di Kampung Pogoh di Segamat, Johor sebelum teman lelakinya membuang bayi tersebut ke dalam sungai kira-kira jaml 12.15 tengah malam semalam.

“Kita telah membawa suspek lelaki ke tempat kejadian bagi mengesan mayat bayi itu pada jam 10 pagi ini dan berjaya menemui bungkusan plastik yang terapung kira-kira 3.15 petang berhampiran tebing sungai,” katanya.

Beliau berkata pasangan kekasih itu direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *