Nelayan Tangkap Ikan Pari Seberat 120 Kilogram

PORT DICKSON – Seorang nelayan yang kudung kaki kanan berjaya menaikkan ikan pari harimau seberat 120 kilogram (kg) berhampiran Pengkalan Nelayan Kuala Lukut, di sini, semalam.

Rahim Omar, 54, berkata sepanjang 25 tahun menjadi nelayan ini adalah kali pertama berjaya menaikkan ikan sebesar itu.

Bapa kepada lima anak ini, kemudiannya menjual ikan itu dengan harga RM20 sekilogram.

“Saya memperoleh RM2,000 daripada hasil jualan 100 kilogram ikan itu dalam tempoh beberapa jam sahaja. Baki ikan itu saya bawa pulang ke rumah dan edarkan kepada rakan,” katanya kepada BH Online.

Kisah Rahim memperoleh ikan pari besar tersebar melalui aplikasi WhatsApp.

Mengulas lanjut, Rahim berkata, beliau ke laut jam 11 pagi bersama menantunya Amirul Arshidi Mohd Kasar, 25, untuk melihat jaring yang dipasang malam sebelum itu.

Katanya, apabila melihat keadaan jaring dalam keadaan terbenam, beliau menyangka banyak ikan yang tersangkut.

“Tetapi rupa-rupanya seekor ikan pari besar yang tersangkut. Kami mengambil masa lebih 30 minit untuk menarik jaring ke dalam bot.

“Saya kemudiannya, meminta bantuan rakan lain untuk menurunkan ikan itu daripada bot sebaik tiba di darat,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *