Muhammad Fauzi Sah Sertai Terengganu

Pemain sayap, Muhammad Fauzi Abdul Kadar mengesahkan menyarung jersi Terengganu apabila mengikat kontrak selama setahun untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain T-Team berusia 25 tahun itu berkata, dia memilih Terengganu untuk mengharungi Liga M musim depan selepas mendapat tawaran Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), lapor Metro.

Bekas pemain MISC-MIFA yang mesra dengan panggilan Mamu itu berkata, dia bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menyarung jersi Skuad Penyu di bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

“Jodoh saya bersama T-Team hanya musim ini saja. Alhamdulillah kerana diberi kepercayaan untuk bersama Terengganu dan saya akan melakukan yang terbaik untuk pasukan jika diberi peluang beraksi,” katanya.

Pemain kelahiran Kedah itu berkata, dia sepatutnya menjalani latihan pertama bersama Terengganu pada 4 Disember ini, namun diberi cuti selama 10 hari kerana bakal melangsungkan perkahwinan.

“Saya bakal menamatkan zaman bujang dengan Mahfuzah Izzati Mokhtar pada 7 Disember ini dan akan menyertai latihan persiapan pra musim bersama Terengganu pada 14 Disember,” katanya.

Ditanya sasarannya bersama Terengganu musim depan, Muhammad Fauzi menegaskan dia tidak pernah bermain di bawah bimbingan Irfan Bakti, namun akan berusaha memikat hati pengendali berusia 66 tahun itu.

Bahkan, dia berjanji akan bekerja keras bagi memastikan lebih kerap diturunkan dalam setiap perlawanan, tanpa mengira sebagai pemain utama atau pemain gantian.

“Fokus utama saya mahu membantu Terengganu merealisasikan sasaran utama menjulang piala musim depan. Selain itu, saya juga berharap dipanggil menyertai skuad kebangsaan musim depan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *