Hotel Diarah Tutup Jika Larang Pekerja Bertudung – Ahmad Razif

KUALA TERENGGANU — Kerajaan negeri Terengganu menentang keras mana-mana hotel yang mengenakan larangan memakai tudung bagi pekerja barisan hadapan di sektor perhotelan di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Katanya, beliau telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk meneliti kes-kes seumpama itu dan jika ada, hotel berkenaan tidak akan dibenarkan beroperasi di negeri itu.

“Negara kita adalah negara Islam sebagai agama rasmi dan kita menghormati agama-agama lain.

“Tetapi dalam soal ini (larang memakai tudung), janganlah dijadikan sebagai syarat untuk membolehkan pekerja wanita bekerja di hotel. Saya menentang habis-habisan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jentera IT Puteri Umno Terengganu yang turut dihadiri Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Puteri Umno Terengganu, Erniesalwani Saidi dan Ketua Pemuda Umno Terengganu, Johari Abu Bakar.

Sementara itu, Mas Ermieyati yang juga timbalan menteri pelancongan dan kesenian berkata, Puteri Umno membantah sekeras-kerasnya mana-mana majikan yang tidak membenarkan wanita Islam memakai tudung sebagai syarat untuk bekerja di bidang perhotelan.

Katanya, hotel yang mengenakan syarat tidak bertudung kepada pekerja atau mencari pekerja yang tidak bertudung merupakan satu perkara yang amat bertentangan dengan Islam sebagai agama rasmi negara. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *