Ahmad Nawab Enggan Jadi Juri, Ikut Telunjuk Produksi

KUALA LUMPUR: Komposer terkenal, Datuk Seri Dr Ahmad Nawab Khan, 84, menolak undangan menjadi juri sebuah program realiti nyanyian kerana enggan mengikut telunjuk produksi stesen televisyen.

Pemuzik berkaliber itu berkata, seorang juri haruslah bijak dalam melontarkan komentar berdasarkan pengalaman bagi mengajar peserta, bukannya disekat bagi menjaga kandungan rancangan.

“Saya ada terima tawaran sebagai juri bagi sebuah program realiti, tetapi terpaksa menolaknya sebab tidak setuju dengan cara penjurian yang diinginkan. Kalau kita tengok program realiti kebelakangan ini, semuanya mendapat arahan daripada stesen TV.

“Seorang juri tidak patut bercakap mengikut arahan produksi. Bagi saya, kalau jadi juri, biarlah komentar diberikan ikhlas mengikut apa yang kita rasa dan memperbetulkan kesilapan peserta demi kebaikan mereka,” katanya.

Sikap sesetengah stesen penyiaran yang terlalu berjaga-jaga terhadap komen juri membuatkan peserta tidak dapat mempelajari dan memperbaiki kelemahan mereka.

Ketika bercakap pada program Sembang-Sembang Sejarah bertajuk Nota Perjalanan Seorang Seniman, di sini hari ini, beliau berkata, jika juri dilantik tidak memberikan penjelasan yang jelas mengenai kelemahan yang ada pada peserta, ia membuatkan mereka gagal memahami kesilapan masing-masing.

“Kalau kita tengok cara pengadilan juri sekarang, ia terlalu terikat dengan stesen. Apabila bercakap pasal ‘pitching’, ia bermaksud sumbang. Jadi, kena bagi tahu di mana sumbangnya. Bukan sekadar cakap jaga ‘pitching’, tetapi tak jelaskan bahagian mana yang sumbang.

“Kalau jadi penyanyi, seseorang itu perlu faham apa itu ‘pitching’ dan tahu di mana sumbangnya. Dalam sesebuah lagu, ada lebih kurang 33 ke 46 bar. Juri kena bagi tahu bahagian mana yang perlu diperbetulkan dan juri sendiri juga kena menyanyikan semula bahagian salah itu untuk memperbetulkan penyanyi.

“Bagi saya, kalau nak jadi juri, kenalah jadi juri sebenar yang tidak takut melontarkan komen,” katanya yang pernah menjadi juri Bintang Klasik peringkat Nusantara sekitar 2009.

Menyentuh mengenai muzik masa kini yang dikatakan tidak mempunyai resam Melayu dalam penghasilannya, beliau berkata, komposer sekarang terlalu mengikut acuan Barat selain kekurangan idea segar.

“Lagu sekarang banyak meniru karya Barat dan unsur Melayu itu sendiri sudah tiada. Bukan saja di negara ini, malah di mana-mana pun mereka sudah terikut dengan muzik luar. Komposer sekarang buat lagu asal boleh dan bukannya untuk memartabatkan elemen Melayu,” katanya.-BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *