PRU14: BN Setiawangsa Yakin Undi Majoriti Meningkat

Barisan Nasional (BN) Setiawangsa yakin dapat mengekalkan kerusinya dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang berdasar sokongan padu daripada masyarakat setempat termasuk komuniti Cina di kawasan itu yang semakin meningkat.

Anggota Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata keyakinan itu turut disokong dengan tradisi populariti BN di Parlimen berkenaan yang mempunyai 7,381 pengundi berdaftar, dengan 29 peratus daripadanya terdiri daripada kaum Cina.

“Masyarakat Cina di Parlimen ini sudah bosan dengan pelbagai isu berbangkit dalam kalangan pihak pembangkang yang sering bergaduh sesama sendiri serta tidak mempunyai kepimpinan yang khusus dalam membantu rakyat.

Namun, ia berlainan sama sekali di bawah kepimpinan BN di mana masyarakat tahu siapa ketua mereka malah setiap kali ada masalah setempat, langkah penyelesaian akan diambil dengan kadar segera. Erti kata lain, isu setempat jarang berlaku di sini.

“Saya turut yakin BN bukan sahaja akan dapat kekalkan kerusi di sini malah jumlah undi majoriti akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalinan Kasih Negaraku Komuniti Cina Parlimen Setiawangsa malam tadi.

Dalam majlis anjuran Jabatan Penerangan Malaysia itu, 600 anggota masyarakat Cina diraikan manakala 45 daripadanya yang terdiri daripada individu kurang berkemampuan dan Orang Kelainan Upaya menerima sumbangan pek makanan bernilai RM100 setiap seorang.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *