PAN Telah Isytihar Perang Dengan PAS, Kata Tuan Ibrahim

SHAH ALAM – PAS tidak akan sesekali membenarkan Amanah memenangi kerusi Parlimen Marang serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang yang disandang presiden parti berteraskan Islam itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurut Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pengumuman dibuat Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini disifatkan beliau sebagai pengisytiharan perang kepada parti itu.

“Baru-baru ini diumumkan PAN (Amanah) akan bertanding di kerusi Parlimen Marang dan Rhu Rendang, jadi bagi kita pengisytiharan itu macam pengisytiharan perang.

“Jadi sepatutnya perkara itu tidak berlaku, sekarang ini kalau mereka dah sedia nak serang PAS maka kita akan bertanding di mana-mana tempat yang kita rasa boleh bertanding,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos.

Beliau mengulas perkembangan terbaru politik negara yang menyaksikan Amanah diberi tanggungjawab mencabar Abdul Hadi di kerusi Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang pada PRU14 nanti.

Untuk rekod Parlimen Marang dianggap kubu presiden PAS namun mengikut keputusan pilihan raya umum lalu ia bukanlah kerusi yang benar-benar selamat.

Abdul Hadi bertanding di Marang sejak pilihan raya umum ketujuh (1986) dan pernah tewas dua kali kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Bakar.

Kerusi yang paling kuat serta selamat untuk PAS ialah DUN Rhu Rendang yang diwakili Abdul Hadi sejak 1986.

Jangan salahkan PAS jika gagal dalam PRU14

Menyentuh saingan tiga penjuru pada PRU14, Tuan Ibrahim menganggap Amanah merupakan penghalang bagi memastikan hanya pertandingan satu lawan satu berlaku pada PRU14.

“Isu besarnya PAN (Amanah) nak tanding di mana?

“Jadi penghalang besar PAN (Amanah) isytihar bertanding di Kelantan di semua kerusi PAS, jangan salahkan PAS bila berlaku tiga penjuru.” katanya.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menimbulkan persoalan mengapa Amanah bersungguh-sungguh mahu bertanding di Kelantan memandangkan BN tidak lagi berkuasa di negeri itu.

“Sebagai contoh saya sebut apa perlunya parti-parti pembangkang pergi ke Kelantan? Kalau kata nak tumbangkan Umno, Umno dah tumbang di Kelantan.

“Sepatutnya Kelantan itu tak diganggu, bila mereka pergi ke Kelantan ganggu kerusi PAS di Kelantan dan begitu juga kerusi PAS di Selangor yang dah menang dan juga kerusi-kerusi lain,” katanya.

Oleh yang demikian Tuan Ibrahim menegaskan jangan sesekali menuding jari kepada PAS sekiranya PH terutamanya Amanah gagal dalam saingan tiga penjuru itu.

“Sepatutnya bagi kita kalau jalan keluar ialah jangan letak bebanan kesalahan kepada PAS.

“Isunya kerusi yang PAS menang pun mereka nak bertanding termasuk di Selangor yang kita dah berjaya,” katanya.

Justeru beliau bersetuju dengan cadangan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya kerusi yang dimenangi parti lain pada pilihan raya umum lalu tidak diganggu sebaliknya memberi tumpuan di kerusi yang belum dimenangi lagi.

“Saya setuju dengan pendekatan saudara Azmin bahawa di Selangor ini tempat-tempat yang dah menang parti lain maka tumpu tempat lain sahaja.

“Tumpu Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan negeri yang belum menang lagi…kenapa hanya tumpu di Kelantan dan kenapa selalu serang di Selangor?,” soalnya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *