George Clooney Kembali Ke Kaca TV

LOS ANGELES: Aktor George Clooney akan kembali ke kaca televisyen dalam siri adaptasi ‘Catch-22’, selepas hampir 20 tahun beliau meninggalkan siri popular ‘ER’ untuk mencipta nama sebagai pelakon filem.

Paramount Television dalam kenyataannya menyebut, siri itu belum diminta oleh mana-mana rangkaian atau pengedar tetapi berkemungkinan mengundang tarikan berikutan pembabitan Clooney.

Clooney akan mengarah dan membintangi siri enam episod itu berdasarkan novel komedi Joseph Heller, ‘Catch-22’ untuk Viacom Inc’s Paramount Television and Anonymous Content, yang akan memulakan penggambaran awal 2018, kata studio itu.

‘Catch-22’ mengisahkan mengenai tentera Amerika Syarikat bernama Yossarian ketika Perdang Dunia Kedua, yang berang kerana unitnya kerap menambah misi yang perlu diselesaikan anggota sebelum diberi cuti.

Satu-satunya cara Yossarian untuk mengelakkan misi adalah mengisytiharkan dirinya tidak waras, tetapi cara membuktikan adalah dengan kesediaan melakukan satu misi bahaya.

Clooney, 56, melakonkan watak komander Yossarian, Kolonel Cathcart. Tiada pelakon lain diumumkan setakat ini.

Pelakon itu mengikut jejak ramai pemenang Oscar seperti Reese Witherspoon, Nicole Kidman, Julia Roberts, Robert De Niro dan Michael Douglas, yang terbabit dalam projek televisyen sejak kebelakangan ini.

Clooney memulakan langkah sebagai pelakon siri televisyen seperti ‘The Facts of Life’, ‘Roseanne’ dan antara pelakon asal drama perubatan ‘ER’ pada 1994, melakonkan watak Dr Doug Ross.

Beliau menarik diri daripada ‘ER’ pada 1999 dan mengukir kerjaya cemerlang dengan filem seperti francais ‘Ocean’s Eleven’, ‘Up in the Air’ dan ‘Graviti’. – REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *