Empat Lelaki Rompak Kedai Emas, Larikan RM1.2 Juta

Empat lelaki bersenjatakan sepucuk pistol melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM1.2 juta dalam kejadian di sebuah kedai emas di Plaza Alam Sentral di Shah Alam awal malam tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) Selangor ACP R. Supramaniam berkata, dalam kejadian 7.30 malam itu, tiga daripada empat suspek menyerbu ke dalam kedai manakala seorang lagi menunggu di luar dengan motosikal.

“Siasatan mendapati seorang daripada penjenayah melepaskan satu das tembakan ke arah siling premis sebelum memecahkan cermin tempat menyimpan barang kemas menggunakan tukul besi,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata suspek hanya mengambil masa tujuh minit untuk melarikan tujuh dulang barang kemas terbabit.

Katanya ketika kejadian terdapat empat pekerja di premis tersebut namun kesemua mereka tidak dicederakan.

Supramaniam berkata kesemua suspek melarikan diri menggunakan tiga motosikal yang diletakkan berhampiran pintu masuk pusat beli-belah itu.

Beliau berkata pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup kedai itu bagi mengenal pasti suspek.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *