Tular Pesta Durian Di Teluk Intan Palsu

IPOH – Orang ramai diminta supaya tidak percaya dengan hebahan bergambar yang ditularkan mengenai satu pesta makan durian di Teluk Intan esok kerana ia adalah palsu, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Zainol Fadzi, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, menyifatkan perbuatan menular hebahan palsu sedemikian sebagai tidak bertanggungjawab.

“Saya menerima puluhan panggilan telefon daripada kawan-kawan dan kenalan sama di luar daerah Hilir Perak dan luar negeri Perak tentang kesahihan berita yang ditularkan itu.

“Bayangkan kalau ada pihak yang percaya dan datang pada tarikh yang dinyatakan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Hebahan dengan gambar memaparkan longgokan buah durian di atas kawasan seluas dua hektar yang ditularkan sejak semalam itu menyatakan satu pesta makan durian akan diadakan pukul 10 pagi esok di kawasan bendang antara Sungai Manik ke Tukang Sidin dan ia terbuka kepada rakyat Perak sahaja.

Zainol Fadzi dalam pada itu menasihati orang ramai supaya mengabaikan hebahan yang meragukan atau menghubungi penduduk tempatan untuk pengesahan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *