Pedofil Menyamar Pihak Berkuasa, Cabul Budak

KUALA LUMPUR ― Seorang pedofil mencabul kanak-kanak lelaki dengan menyamar sebagai pihak berkuasa termasuk polis.

Berpakaian formal atau berbaju batik, suspek mengarahkan mangsa membuat ujian saringan air kencing sebelum mencabul mereka, lapor Metro.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur berkata suspek menyamar sebagai pegawai polis dan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

ACP Rusdi Mohd Isa berkata dua kes dilapor di Kepong minggu lalu dan Cheras beberapa hari lepas, membabitkan mangsa berusia 12 dan 13 tahun.

“Berdasarkan modus operandi itu, kami tidak menolak kemungkinan individu terbabit adalah suspek sama. Bagaimanapun siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Mengikut prosedur, beliau berkata agensi penguat kuasa tidak membuat pemeriksaan sendirian sebaliknya secara berkumpulan.

Polis giat memburu suspek yang identitinya sudah dikenal pasti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *