Mahathir Terus Dicabar Isytihar Harta

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dicabar supaya mengisytiharkan hartanya dan beliau telah menyatakan kesediaannya namun Mahathir berkata beliau tidak tahu sama ada dirinya akan menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.

Apa kaitannya beliau menjadi calon atau tidak? Sepatutnya Mahathir yang dituduh mengumpul kekayaan selama 22 tahun itu, melakukan pengisytiharkan hartanya supaya beliau dapat membersihkan namanya.

Bukan disebabkan beliau akan menjadi calon atau pun tidak. Ia adalah mengenai tuduhan kekayaan yang dimiliki oleh beliau serta anak-anaknya dan tiada kaitan pun soal menjadi calon atau tidak.

Memandangkan beliau selalu bercakap mengenai rasuah, maka kini beliau perlu membersihkan dirinya dan salah satu daripadanya adalah dengan mengisytiharkan harta.

Selama ini ramai yang bertanya mengenai harta dan kekayaan Mahathir serta anak-anaknya. Sejak lama dulu soalan mengenai pengisytiharan harta ini ditujukan kepada beliau tetapi beliau tidak melakukannya.

Beranikah beliau melakukannya. Tidak perlu jadi calon pun untuk isytiharkan hartanya.

Sememangnya isu kekayaan Mahathir dan anak-anaknya sentiasa menjadi tumpuan hinggakan Berita Harian dan Utusan Malaysia telah menyiarkan mengenai gaya hidup cucu bekas perdana menteri itu, Meera Alyanna Mukhriz.

Utusan Malaysia menerbitkan gambar Meera di atas kapal layar yang didakwa dinamakan sempena namanya.

“Bagi wanita bertuah yang diberi nama Meera Alyanna atau lebih dikenali dengan Ally, kesempurnaan hidupnya menjadi tumpuan ramai. Beliau yang boleh diumpamakan lahir dalam dulang emas terkenal di media sosial dengan kehidupan umpama selebriti dan sering menggayakan pakaian dan barangan berjenama.

Malah Ally juga sering menjalani percutian mewah di seluruh dunia, serta bertuah kerana menjadi pemilik bot yang dinamakan sempena namanya,” demikian tulis Utusan Malaysia dalam keluarannya pada 12 November lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *