Lebih 5,000 Beratur Seawal Jam 8 Pagi Di IKEA Tebrau

JOHOR BAHRU – Lebih 5,000 orang mula beratur seawal jam 8 pagi bagi menjadi pelanggan pertama memasuki IKEA Tebrau, gedung pertama di selatan tanah air, yang mula dibuka pada jam 10 pagi tadi.

Terdahulu, majlis perasmian disempurnakan wakil Menteri Besar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Pengarah Runcit IKEA Asia Tenggara, Mike King, berkata dengan keluasan 46,713 meter persegi serta 54 bilik pameran berinspirasikan ala Sweden, gedung berkenaan menjadi yang terbesar di rantau Asia Tenggara.

“Selepas persediaan dilakukan selama berbulan-bulan, kami teruja untuk membuka pintu gedung ini dan memberikan pengalaman membeli-belah IKEA yang unik kepada warga Malaysia terutama di bahagian selatan Semenanjung.

“Kami akan berusaha mencapai visi menjadikan kehidupan harian yang lebih baik bagi lebih ramai orang di Johor dan juga seluruh selatan Malaysia dengan lebih 8,000 kemasan kediaman rekaan Sweden bermutu dan mampu dimiliki,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran itu di sini, hari ini.

Pengurus Gedung IKEA Tebrau, Annie Chandler, berkata dengan pasukan pekerja seramai 300 orang, mereka bersedia menerima kunjungan lebih 1.8 juta orang pelanggan yang tinggal dalam jarak sejauh satu jam dari gedung itu dan berjuta lagi pelanggan dari kawasan lebih jauh.

“Kami juga melakukan penyelidikan dengan mengunjungi beberapa kediaman di Johor bagi memastikan gedung, produk dan inspirasi kemasan kediaman mereka menarik minat masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Siew Kiong berkata kerajaan Johor sememangnya mengalu-alukan syarikat korporat berjenama antarabangsa untuk bertapak di Johor seiring dengan gagasan Johor Berkemajuan, di mana negeri ini kini sedang menuju ke arah sebuah kuasa ekonomi utama bertaraf antarabangsa.

“Lebih-lebih lagi, Johor Bahru dikenal pasti kekuatan ekonominya sebagai Asia Home For Business dalam Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ) yang melihat potensinya dalam perdagangan antarabangsa,” katanya.

Sepanjang hari pembukaan dan hujung minggu, pelanggan boleh menikmati pelbagai tawaran terhad dan aktiviti di gedung IKEA Tebrau. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *