Ezam Nor Gesa PH Singkir Pemimpin Amal Gaya Hidup Mewah

SHAH ALAM – Pengerusi Hisbah Centre For Reform (Hisbah), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor menggesa Pakatan Harapan (PH) menyingkirkan mana-mana pemimpinnya yang mengamalkan gaya hidup mewah, jika gabungan itu benar-benar melaungkan agenda perubahan.

Ujar Ezam, kewujudan pemimpin sedemikian adalah tanda-tanda kejatuhan dan kegagalan sebuah tamadun sebagaimana yang digariskan seorang tokoh ilmuan Islam, Ibnu Khaldun.

“Justeru, Hisbah memandang serius beberapa berita mutakhir yang mempaparkan gaya hidup pemimpin dan keluarganya yang bermewah-mewah dan bermegah-megah.

“Apatah lagi kisah-kisah ini membabitkan pemimpin di dalam Pakatan Harapan (PH), sebuah gabungan politik yang membawa politik dan harapan baru kepada rakyat dan negara.

“Apa maknanya melaungkan perubahan sekiranya diri sendiri tidak mampu berubah?,” katanya dalam satu kenyataan.

Ezam sebelum ini menyertai PPBM pada Oktober 2016 selepas meninggalkan Umno.

Bekas senator itu kemudian mengambil keputusan untuk meninggalkan parti teraju Tun Dr Mahathir Mohamad itu pada Disember tahun yang sama, hanya selepas tiga bulan menyertai parti berkenaan.

Kenyataan Ezam itu susulan pendedahan media baru-baru ini yang menyiarkan gambar mengenai gaya hidup mewah cucu Dr Mahathir yang diambil dari laman instagram mereka.

Gambar itu memaparkan Meera Alyanna Mukhriz, yang bercuti di atas sebuah kapal layar mewah, dipercayai dihadiahkan oleh bapanya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beberapa keping gambar Alyanna atau Ally yang memaparkan kehidupan mewahnya juga viral di laman sosial Facebook.

“Nilai pemimpin apa yang mahu kita cari daripada pemimpin yang jelas gagal mendidik keluarganya sendiri hidup bersederhana dengan penuh adab dan kesusilaan agama dan bangsa sendiri?

“Demi kepentingan dan masa depan umat yang lebih terbela, Hisbah menuntut tindakan serius agar gejala yang merosakkan tamadun ini dihentikan atau mana-mana pemimpin yang rosak dan merosakkan ini dinyahkan daripada agenda besar perjuangan perubahan,” katanya lagi. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *