PAR Bidas Tindakan Exco P.Pinang Pertikai Bantuan Untuk Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR – Exco Kerajaan Pulau Pinang, Dr. Afif Bahardin dibidas sebagai manusia tidak tahu menghargai jasa apabila mempersoalkan sumber dana bantuan disalurkan oleh Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) bagi membantu mangsa banjir.

Presiden Pertubuhan Aduan Rakyat (PAR) Malaysia, Datuk A. Chandrakumanan  mendakwa, Afif tidak sepatutnya mempersoalkan bagaimana sumber bantuan itu diperoleh.

“Dia sepatutnya menghargai kesungguhan yang diambil oleh badan bukan kerajaan itu yang tampil ikhlas menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir pada 8 November lalu.

“Nampaknya Afif lebih bimbang mengenai bagaimana dan kenapa bantal dan tilam mempunyai wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tetapi tidak tahu berterima kasih mangsa negeri itu menerima bantuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Chandrakumanan,  Afif perlu menjaga adab dan sedar bahawa kerajaan pusat pimpinan BN telah turun padang membantu mangsa menerusi pelbagai agensi dan pemimpin PKR ini tidak seharusnya mempolitikkan usaha ikhlas mereka.

Katanya, bantuan BN semasa Kelantan ditenggelami banjir terburuk adalah contoh terbaik BN sentiasa mendahulu rakyat bukannya mempolitikkan segala keadaan seperti Afif.

“Ini bermakna dia (Afif) resah melepaskan peluang untuk mencari sokongan politik dalam keadaan bencana dan dia seharusnya sedar bahawa niatnya tidak akan memanfaatkan sesiapa.

“Jika kamu menyoal bantuan NGO, kalau berani pergilah tanya kerajaan DAP negeri itu kenapa hanya RM5 juta diperuntukan untuk mangsa banjir sedangkan hasil kutipan dana bencana DAP yang dipungut ialah RM6.1 juta.

“Ini bermakna mana perginya wang RM1 juta lagi, minta DAP yang telus dan integriti jawab segera tanpa berselindung.

“”Saya juga ingin tanya bagaimana kerajaan DAP membelanjakan wang RM350 juta untuk kajian dan laporan terowong bawah laut Pulau Pinang tetapi mangsa banjir hanya menerima RM5 juta, sila jawab kalau kamu ini berani kerana benar,” tegasnya.- MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *