Gelaran ‘Sotong Malaya’ Cetus Sensasi Di Media Sosial

Kekalahan pasukan bola sepak Malaysia 1-4 kepada Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand malam tadi masih hangat diperkatakan peminat bola sepak tanah air, dan ia bertambah sensasi apabila laporan sebuah akhbar hari ini menggelarkan skuad Harimau Malaya sebagai “Sotong Malaya” berikutan keputusan memalukan itu.

Media melaporkan, skuad yang diketuai jurulatih Nelo Vingada gagal meneruskan kempen ke aksi kelayakan Piala Asia 2019 selepas kekalahan dua kali berturut-turut kepada pasukan Korea Utara 1-4, masing-masing dalam perlawanan pada Jumaat lepas dan malam tadi.

Susulan kekalahan tersebut, sebuah akhbar berbahasa Malaysia tampil dengan tajuk yang pedas ‘Sotong Malaya Lunyai Dibelasah Lagi 1-4’, yang sekaligus menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

“Sotong Malaya lunyai? Haha… Berani betul letak tajuk akhbar camtu. Tapi tepat,” kata seorang pengguna media sosial menggunakan nama F i R m i N o‏.

“Harimau Malaya dah tukar ke Sotong Malaya, lepas ni binatang apalah pulak,” tambah Tajul Tajuddin.

Sementara MamakMalaya‏ berkata, “Banyak pemain dalam tu (pasukan negara) tak sesuai dalam skuad @HarimauMY aka Sotong Malaya. Kena ada rombakan pemain besar-besaran @FAM_Malaysia.”

“Mohon @FAM_Malaysia baca dan hadam. Kita bukan lagi Harimau Malaya… Kita sudah bertukar menjadi sotong,” tulis Muse.

Meskipun segelintir netizen mengganggap label “Sotong Malaya” itu sebagai lucu dan tepat bagi menggambarkan prestasi buruk dipamerkan pemain-pemain negara dalam perlawanan tersebut malam tadi, namun ada juga yang kurang senang dengan panggilan itu, yang disifatkan sebagai menghina skuad bola sepak negara.

“Hinanya kena panggil Sotong Malaya. Harap Presiden FAM ambil tindakan,” demikian tulis pengguna Twiiter bernama Nana.

Mohd Amirul‏ pula berkata, “Tudia ayat “Sotong Malaya” lunyai wei kejam sangat kot, nasib pemain bola Malaysia wei, tunggulah depa nak balas apa pula kat media sukan Malaysia.”

Gelaran Harimau Malaya menggambarkan keberanian dan kegigihan rakyat Malaysia, sementara gelaran “sotong” selalunya digunakan untuk merujuk kepada seseorang yang bersifat lembut atau lembik.

Namun, setakat artikel ini dikeluarkan, tiada sebarang respon daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung gelaran yang diberikan kepada Harimau Malaya.

Tunku Ismail pernah mengkritik akhbar sama susulan laporan yang disiarkan akhbar tersebut selepas sesi soal jawab bersama wakil-wakil media pada Oktober lalu disifatkan seperti menulis gosip murahan.

Sementara itu, media melaporkan kekalahan skuad Malaysia memberi rekod buruk kepada Vingada memandangkan jurulatih kelahiran Portugal itu masih belum merasai sebarang kemenangan setakat di bawah kendaliannya.

Bagaimanapun, memetik laporan Bernama, Vingada mendakwa kekalahan Harimau Malaya malam tadi adalah disebabkan persiapan singkat menghadapi Korea Utara.

“Berdepan pasukan seperti Korea Utara, kita perlu membuat persediaan rapi, dalam beberapa bulan dan bukan beberapa hari seperti dilakukan sebelum ini.

“Kita tiba di Buriram 7 November, dan menjalani latihan pertama hari berikutnya dan turun beraksi pada 10 November dan tiga hari kemudian,” Vingada dipetik sebagai berkata.

Berita Harian hari ini melaporkan, lagenda bola sepak negara Datuk Santokh Singh mahu Vingada melepaskan jawatan itu sebagai tanda maaf kepada seluruh peminat bola sepak tempatan. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *