Durakovic Tekad Kejutkan Johor DT

Biarpun dengan bilangan pemain yang terhad, jurulatih Perak, Mehmet Durakovic masih berharap dapat melakukan kejutan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir kedua di Larkin, Sabtu ini sekali gus melangkah ke final Piala Malaysia.

Kali terakhir JDT tewas di laman sendiri dua tahun lalu ketika menentang FELDA United pada November 2015, dan sejak itu juara empat kali Liga Super itu merekodkan 44 perlawanan tanpa tewas di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, lapor Metro.

Selepas perlawanan timbal balik pertama separuh akhir Ahad lalu yang berkesudahan seri 1-1 di Ipoh, Perak memerlukan kemenangan atau mencatatkan keputusan seri dengan gol yang besar bagi mara ke final buat kali pertama sejak 2007.

Di Ipoh, Durakovic kehilangan lima pemain utama akibat kecederaan atau “perjanjian gentleman” yang bermakna bekas pemain JDT, Jasazrin Jamaluddin dan Nazrin Nawi terpaksa diketepikan kedua-dua perlawanan.

Ketika kesahihan perjanjian itu masih menjadi tanda tanya – UEFA sudah mengetepikan perjanjian yang boleh mencemar prinsip fairplay – tetapi Persatuan Bola Sepak Perak tidak mahu mengecewakan JDT dengan memasukkan Jasazrin dan Nazrin.

Dengan Yashir Pinto, Leandro Dos Santos dan Hafiz Kamal yang kesemuanya mengalami kecederaan, Durakovic mempunyai pilihan yang terhad dan berkemungkinan bakal menurunkan pemain yang sama yang beraksi Ahad lalu.

“Kami tidak mempunyai skuad yang besar dan dengan lima pemain terpaksa dipinggirkan, secara umumnya kami hanya boleh berharap melakukan yang terbaik dengan pemain yang kami ada,” kata Durakovic yang membawa Selangor menjulang trofi berprestij itu pada 2015.

“Ia bukanlah mudah di Larkin, terutama sekali bermain dengan hanya dua pemain import tetapi kami akan melakukan yang terbaik dengan sumber yang ada.”

Durakovic bagaimanapun lega apabila pertahanan, Thiago Junio De Aquino boleh disenaraikan semula selepas pemain Brazil itu mengalami kecederaan pendarahan di hidung dan menyebabkan dia terpaksa dibawa keluar ke padang untuk menjalani rawatan beberapa minit.

“Saya gembira dengan cara permainan pasukan saya dalam perlawanan pertama dan pemain menunjukkan semangat juang yang sebenar,” kata Durakovic. “Ia bukanlah mudah dengan separuh daripada pasukan tiada.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *