Dah Tua Pun Menyamun

Polis menahan empat lelaki tidak sampai 24 jam selepas dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Kampung Pulau Pisang, Bota Kiri, Bota, semalam, dan melarikan sebuah kereta Perodua Viva dan wang tunai berjumlah RM974.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, empat lelaki berusia antara 32 hingga 60 tahun itu ditahan jam 12.45 tengah malam tadi selepas menerima laporan berkenaan kejadian itu pada jam 7.44 pagi semalam daripada pemilik rumah berkenaan.

Menurutnya, bertindak daripada laporan diterima itu, pihaknya menahan keempat-empat suspek dipercayai sedang ‘lalok’ di sebuah rumah di Kampung Lambor Kiri, Bota.

“Hasil siasatan awal dijalankan, hanya suspek berusia 60 tahun sahaja yang mengaku memasuki rumah mangsa secara berseorangan dan melarikan Perodua Viva milik mangsa.

“Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Viva, seberkas kunci, dua beg, satu pemotong dawai, satu topeng, satu pahat, tukul besi dan master key,” katanya, lapor Metro.

Mohamad Zainal berkata, hasil semakan pihaknya mendapati semua suspek masing-masing mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing dijalankan mendapati kesemua mereka positif heroin.

“Ketika kejadian, pemilik rumah tiada kerana sedang bercuti di Terengganu dan kejadian itu disedari abang kepada pemilik rumah yang juga jirannya selepas mendapati Perodua Viva sudah tiada dan pintu di bahagian belakang rumah juga terbuka.

“Pemilik rumah itu yang pulang kemudiannya mendapati pelbagai barangan sudah hilang antaranya Perodua Viva, pemain video cakera padat (DVD) dan wang tunai RM19,000,” katanya.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *