JHEAIK Siasat Ajaran Sesat Persoal Kewujudan Allah

ALOR SETAR — Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) hari ini mengesahkan menerima laporan mengenai penularan satu klip video yang dipercayai menyebarkan ajaran sesat di Pulau Tuba, Langkawi.

Pengarahnya Datuk Abdul Rahman Ismail berkata pihaknya telah mengarahkan Pejabat Agama Langkawi melakukan siasatan berhubung perkara itu.

“Berdasarkan apa yang saya lihat (pemerhatian awal) ilmu ini salah dari segi akidah dan fahaman yakni mempersoalkan tentang kesaksian kita kepada Allah SWT serta mempersoalkan syahadat kita.

“Jadi saya sudah meminta pegawai membuat siasatan untuk mengenal pasti apa sebenarnya ajaran ini,” katanya kepada Bernama.

Video berkenaan yang tular di media sosial sejak seminggu lalu menunjukkan seorang lelaki dipercayai tok guru yang mempersoalkan mengenai kewujudan Allah SWT, syahadat serta rukun solat.

Turut dipaparkan dalam video berdurasi kira-kira enam minit itu ialah beberapa lelaki yang menyokong kenyataan tok guru terbabit.

Selain itu, beberapa keping gambar yang memaparkan rumah dan pondok dipercayai tempat untuk menyebarkan fahaman berkenaan dengan kalimah-kalimah tertentu termasuk “Allahu akbar” dan “al-Rahim” tertulis di dinding luar pondok berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman turut menasihati umat Islam di negeri ini agar tidak mudah terpengaruh serta terpedaya dengan sebarang ajaran yang menyimpang dari fahaman Ahli Sunah Waljamaah.

“Sebarang ajaran yang bertentangan daripada ajaran Islam sebenarnya haruslah ditolak… berhati-hatilah dengan ajaran yang kita rasa menyimpang daripada fahaman kita selama ini dan laporkan segera kepada pejabat agama berdekatan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sudah meminta para imam dan pemimpin agama di akar umbi agar memberikan kefahaman mengenai bahaya ajaran sesat kepada anggota kariah masjid masing-masing. — Bernama

One thought on “JHEAIK Siasat Ajaran Sesat Persoal Kewujudan Allah

  • October 18, 2017 at 9:50 pm
    Permalink

    JHAEIK baru bangun dari tidor ke…atau mabuk muruku???? Dah seminggu lebih dah viral baru nak suruh pejabat agama kat Langkawi sissat………………..!!!!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *