TMJ Cabar ‘Budak Topi Merah’ Ultras Malaya Datang Berjumpa

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempelawa individu bertopi merah dari kelab penyokong Harimau Malaya, Ultras Malaya, untuk menghadap baginda.

Tunku Ismail yang merupakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, pertemuan tersebut sebagai kaedah bagi Ultras Malaya untuk meluahkan rasa tidak berpuas hati terhadap kepimpinannya selaku Presiden baru FAM secara berdepan.

“Budak pakai topi merah tu, aku nak jumpa dia. Ni guarantee tak dapat duit tambang (menyaksikan perlawanan Harimau Malaya) pergi Hong Kong. Itu yang dia b*****tkan FAM. Cuba kalau dia dapat duit tambang, dia b*****tkan ke tidak?

“Kalau handal sangat, kita patut berjumpa. Kita boleh berjumpalah, kita boleh bercakap (berbincang). Kita manusia, bukan binatang nak makan antara satu sama lain.

“Jadi saya punya nasihat kepada mereka (Ultras Malaya), teruskan nyanyi lagu tu. Tiada masalah. Apabila anjing menyalak bukit, bukit tak akan runtuh,” titah baginda dalam sesi temubual yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers, malam tadi.

TMJ selaku panelis tunggal menjawab soalan daripada pengulas sukan tempatan terdiri daripada Abu Bakar Atan, Tabah Syazwan dari Media Prima Berhad serta Vijhay Vick dan Ooi Kin Fai dari FourFourTwo dan Goal.com.

Kenyataan TMJ sebagai respon terhadap nyanyian Ultras Malaya menyindir FAM di Stadium Hong Kong sewaktu perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 menyaksikan pertembungan skuad kebangsaan dengan Hong Kong.

Pada pertemuan tersebut, kapten pasukan kebangsaan, Safiq Rahim, diperintahkan untuk keluar padang selepas dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain Hong Kong pada separuh masa pertama.

Malaysia agak tempang kerana bermain dengan hanya 10 pemain tanpa penyerang akhirnya akur dengan keputusan akhir perlawanan memihak kepada Hong Kong, 2-0.

TMJ sewaktu mengulas mengenai insiden menimpa Safiq menegaskan bahawa baginda tidak menyalahkan penyerang negara itu.

“Saya tak salahkan dia. Bukan dia seorang perlu disalahkan, (sebaliknya) semua,” katanya.

Baginda turut mengulas gesaan pihak tertentu meminta Jurulatih Kebangsaan, Nelo Vingada dipecat diatas faktor Harimau Malaya masih belum meraih sebarang kemenangan semenjak lantikan Pengurus dari Belanda itu.

“Jika esok Vingada dipecat, anda akan tetap mempunyai masalah yang sama.

“Realiti, masa tubuhkan kelab (JDT), kami perlukan dua ke tiga tahun untuk terapkan winning mentality.

“Jadi apa anda jangka untuk (Vingada) buat dalam masa dua tiga bulan?. Beri masa untuk Vingada,” titah baginda lagi. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *