Zairil Akhirnya Letak Jawatan Presiden FAP

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari meletak jawatan berkuatkuasa serta merta kerana kecewa atas kegagalannya membawa pasukan Pulau Pinang ke kedudukan lebih baik musim ini.

“Menjelang penutupan tirai musim bola sepak Liga Malaysia 2017, harapan Pulau Pinang untuk kekal di Liga Super sudah pun pupus. Walaupun pelbagai usaha dicuba, namun hakikat yang pahit ini terpaksa diterima,” katanya, dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook miliknya, sejam yang lalu.

Menurutnya, pengurusan telah melakukan sedaya upaya dan yang terbaik, namun masih gagal.

“Disebabkan itu, saya mengambil tanggung jawab terhadap kegagalan Pulau Pinang musim ini dan meletak jawatan sebagai presiden serta-merta. Walaupun perjalanan saya dalam FAP singkat, namun banyak yang telah saya harungi, pahit dan manis,” katanya.

Zairil berkata, antara usaha dilakukan termasuk membawa jurulatih asing yang mempunyai rekod cemerlang namun apabila tidak membuahkan hasil, FAP menukar strategi dengan menggantikan tempat itu dengan lagenda bola sepak tempatan, Zainal Abidin Hassan.

“Malangnya, nasib masih tidak menyebelahi kami. Namun saya bangga dengan program pembangunan akar umbi. Di bawah seliaan saya, kami wujudkan pasukan bawah 16 dan bawah 14 mewakili FAP,” katanya.

Menurutnya, pasukan bawah 16 berjaya melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan JSSL Pro-7s di Singapura, manakala pasukan bawah14 muncul Naib Juara Piala Dunia Remaja Gothia di China.

“Mereka ini adalah harapan kita untuk Pulau Pinang pada masa akan datang,” katanya.

Zairil turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pegawai dan warga FAP setiap peringkat, termasuk Piala Presiden dan Piala Belia, selain kerajaan negeri atas sokongan dana.

“Saya juga berterima kasih kepada penyokong pasukan Harimau Kumbang yang sentiasa cekal bersama pasukan dalam apa jua keadaan. Sebagai peminat setia, saya doakan yang terbaik untuk pasukan, semoga terus maju jaya mengharungi cabaran masa depan,” katanya.

Menurutnya, beliau akan tetap menyokong dan hadir ke stadium menyaksikan perlawanan meskipun hanya dari tempat duduk penonton.

“Saya berharap pasukan kesayangan kita ini kembali bangkit dan menggegarkan liga, seperti suatu ketika dahulu. Ayuh, demi negeri kita! Haria Penang Haria!,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *