Malaysia Jauh Lebih Aman

PORT DICKSON – Rakyat perlu sentiasa bersyukur dan hargai keamanan yang dikecapi negara sejak merdeka hingga kini.

Adun Linggi, Datuk Abd Rahman Mohd Redza berkata, mana-mana di dalam dunia ini, apa yang rakyat mahukan adalah hidup dalam keadaan aman, lapor Sinar.

“Faktor itu ada pada negara kita, jauh lebih aman berbanding negara lain hatta negara jiran kita.

“Selepas mengacapi keamanan, sudah tentu kita mahu hidup dalam keadaan mampu menambah baik aspek kehidupan dan antaranya adalah dari aspek ekonomi,” katanya.

Menurutnya, dahulu semasa negara baru mengacapi kemerdekaan 60 tahun lalu, hanya lima peratus rakyat yang berada di luar paras kemiskinan dan 95 peratus lagi adalah miskin serta miskin tegar.

“Tapi hari ini sudah terbalik, hanya tinggal lima peratus yang miskin, selebihnya iaitu 95 peratus telah keluar daripada paras kemiskinan.

“Di Negeri Sembilan dah tidak ada miskin tegar, yang ada hanya miskin dan mudah miskin,” katanya.

Kenapa perlu cinta negara dari sudut pendidikan Abdul Rahman memberitahu, seawal taska hingga ke sekolah menengah, kos pendidikan semuanya ditanggung kerajaan sepenuhnya.

“Malah semasa di taska dan tadika, kerajaan turut memberikan duit makan setiap hari kepada kanak-kanak tersebut.

“Ini adalah antara daripada bermacam nikmat hidup di Malaysia, jadi sangat wajar untuk kita terus cintakan negara kita,” katanya.

Ujarnya, cintakan negara tidak setakat diluahkan dengan kata-kata sahaja.

“Orang bercinta akan melakukan apa sahaja untuk kekasihnya dan dalam senario ini, kekasih kita adalah Malaysia.

“Nikmat keamanan ekonomi yang baik serta pendidikan percuma hari ini tak datang bergolek, ia adalah hasil usaha dan pengorbanan pejuang, pemimpin sebelum ini yang diterajui BN,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada program Jalinan Kasih Cinta Negara Bersama Masyarakat Orang Asli Peringkat Daerah Port Dickson di Balai Raya Kampung Orang Asli Palebar Baru, semalam.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang sehari program itu, antaranya senamrobik, pameran agensi kerajaan, sukaneka dan pertandingan mewarna, kuiz kenegaraan serta tedtalk kenegaraan oleh Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Mejar (K) Sabarudin Yeop Hamzah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *