Syarul Kekal Gelaran Mr Universe

KUALA LUMPUR- Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah berjaya mempertahankan gelaran Mr Universe pada Kejohanan Bina Badan Dunia dan Sukan Fizik di Mongolia yang berlangsung malam tadi.

Dia yang bersaing dalam sukan fizik bagi kategori 167 sentimeter ke atas, mengatasi cabaran peserta lain untuk meraih pingat emas walaupun berdepan dengan cuaca sejuk, lapor Bh.

“Cabaran kali ini bukan saja hadir dari pencabar negara lain namun cuaca yang sejuk. Ia memberikan kesukaran kepada kami terutamanya kerana sukan ini membabitkan otot.

“Sejak awal sukar untuk kami menyesuaikan diri kerana cuaca adalah sekitar negatif lima darjah celsius. Namun saya tidak mahu sia-siakan persediaan yang dilakukan selama ini dan memberikan yang terbaik semasa pertandingan malam tadi.

“Saya gembira pengorbanan termasuk jadual yang ketat menghadapi dua kejohanan besar (peringkat Asia dan dunia) yang hampir membuahkan hasil yang diharapkan,” katanya yang turut meraih kejuaraan yang sama tahun lalu.

MOHD Syarul Azman Mahen Abdullah (tengah) ceria bersama atlet dan pegawai kontinjen bina badan negara selepas berjaya mempertahankan gelaran Mr Universe pada Kejohanan Bina Badan Dunia dan Sukan Fizik di Mongolia, malam tadi. – Foto Azlan Muhammad Zain

Ia adalah kejayaan berganda buat atlet kelahiran Kuala Lumpur berkenaan selepas meraih gelaran Mr Asia kali ketiga pada Ogos lalu.

Sekali gus ia turut menepati sasaran Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) yang menaruh harapan dia mampu mempertahankan gelaran yang diraihnya tahun lalu.

Turut cemerlang adalah Malvern Abdullah yang meraih perak dalam disiplin bina badan bagi kategori 60 kilogram.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *