KKM Nasihat Ibu Bapa Agar Tidak Benarkan Anak Ke Sekolah Jika Dijangkiti Beguk

GEORGETOWN – Kementerian Kesihatan menasihatkan ibu bapa supaya tidak membenarkan anak yang dijangkiti beguk ke sekolah kerana bimbang penyakit itu menjangkiti murid lain.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, walaupun penyakit beguk merupakan gejala ringan, namun ia boleh berjangkit kepada kanak-kanak yang belum mempunyai sistem imuniti tubuh yang kuat.

“Cuma saya nak nasihatkan ibu bapa agar tidak membawa anak mereka ke kawasan orang ramai atau tempat terbuka terutamanya sekolah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Apresiasi Negaraku Sehati Sejiwa 2017 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang di sini, hari ini.

Dr Hilmi yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata orang ramai yang mengalami penyakit beguk diminta mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan bagi mengelak ia menjadi lebih teruk.

“Paling penting bagi kanak-kanak adalah mereka perlu mendapatkan rawatan segera di klinik jika dijangkiti penyakit beguk kerana sistem imuniti mereka masih belum kuat,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa penyakit beguk membabitkan murid di Putrajaya berpunca daripada jemaah haji yang baru kembali dari Tanah Suci.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya pada 15 Sept lepas mengesahkan kes beguk membabitkan 11 murid Sekolah Kebangsaan Presint 11, Putrajaya yang dilaporkan pada 25 Julai lalu. Bagaimanapun, sejumlah 17 kes lagi dilaporkan selepas itu, membabitkan sekolah sama dan dua sekolah lain.

Beguk disebabkan oleh jangkitan virus ‘Paramyxovirus’ dan menyebabkan pesakit mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan bengkak serta sakit di kelenjar parotid (kelenjar air liur). – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *