KJ Buntu Tangani Doping

KUALA LUMPUR – “Jangan ambil doping!” Itu jawapan mudah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika diajukan soalan media berkisar gejala pengambilan bahan terlarang yang berulang kali berlaku dalam kalangan atlet.

Meskipun pelbagai program pendedahan giat dilakukan baik Majlis Sukan Negara (MSN) mahupun Institut Sukan Negara (ISN), kes doping berulang lagi sekali gus menampakkan setiap program dilakukan seakan ‘mencurah air ke daun keladi’, lapor BH.

Baru-baru ini, seorang atlet terjun wanita negara yang meraih pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) disahkan gagal ujian doping selepas diuji sampel air kencingnya terdapat bahan terlarang jenis sibutramine.

Difahamkan, bahan terlarang yang ditarik balik penggunaannya di pasaran Amerika Syarikat pada Oktober 2010 itu berfungsi antara lain mengurangkan obesiti, kolesterol dan tekanan darah tinggi.

Ditanya sama ada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menambahkan lagi program khusus bagi membendung isu ini, Khairy dalam sidang media selepas acara Batik Fun Walk di Balai Seni Negara berkata: “Berapa banyak program lagi kita nak buat? “Kita buat program sepanjang masa dan kita juga terus melakukan program.”

Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Datuk Seri Shahidan Kassim semalam memberitahu atlet itu mahu membuka sampel B untuk diuji.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *