Abdul Aziz Kekal Presiden MUBARAK, Menang Tanpa Bertanding

KOTA BHARU – Tan Sri Abdul Aziz Rahman mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) bagi penggal 2017-2020 apabila menang tanpa bertanding dalam Perhimpunan Agung Tahunan ke-14, di sini, hari ini.

Jawatan Timbalan Presiden dimenangi oleh bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA), Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman, selepas mengalahkan penyandang iaitu bekas Ahli EXCO Negeri Sembilan, Tan Sri Yazid Baba, dengan kelebihan 36 undi.

Abdul Rahman memperoleh 84 undi manakala Yazid mendapat 48 undi.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bebas, Datuk Romainor Ali, turut mengumumkan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff; bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Tan Sri Zaleha Ismail; dan bekas Speaker yang juga EXCO Melaka, Datuk Wira Jaafar Lajis, mengisi tiga jawatan naib presiden daripada lima calon yang bertanding.

Jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap pula kekal disandang masing-masing oleh Datuk Bahari Taib dan Datuk Mohd Yusup Latib.

Perhimpunan itu juga meluluskan beberapa usul termasuk menggesa kerajaan mengambil inisiatif segera untuk menginstitusikan Rukun Negara bagi membolehkan rakyat pelbagai lapisan memahami, menghayati serta mengamalkan konsep Rukun Negara dalam kehidupan dan urusan harian masing-masing.

MUBARAK juga mengusulkan subjek Rukun Negara diperkenalkan dari peringkat sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi selain menubuhkan kementerian khas, institut atau sekretariat khusus bagi mentadbir dan melaksanakan tugas berkenaan.

Selain itu, MUBARAK juga mahu kerajaan mengkaji secara serius bagi menghapuskan segala dasar, program dan kegiatan yang berbentuk perkauman.

Selaras dengan ini, sistem pendidikan yang tidak menyumbang ke arah pemupukan perpaduan kaum perlu dikaji semula dan parti-parti yang berasaskan kaum perlu dihapuskan pada masa dan ketika yang sesuai.

Perhimpunan itu juga bersetuju menggesa Kementerian Belia dan Sukan agar mengambil kira serta memasukkan unsur-unsur berkenaan dalam merangka dasar dan gerak kerja Transformasi Nasional 50 (TN50) yang sekarang dalam proses penyediaan.

Keputusan Pemilihan MUBARAK 2017-2020:

Pengerusi Tetap: Datuk Bahari Taib

Timbalan Pengerusi Tetap: Datuk Mohd Yusup Latib

​​​​​​Presiden: Tan Sri Abdul Aziz Rahman

Timbalan Presiden: Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman

Tiga Naib Presiden: Tan Sri Osman Aroff; Tan Sri Zaleha Ismail; Datuk Wira Jaafar Lajis

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *