Zara Zya, Jurusolek Bantu Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zara Zya dan jurusolek yang sering bekerjasama dengannya, Alha Alfa, sepakat menghulurkan sumbangan kepada mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di sini.

Hasrat itu diluahkan pelakon berbakat berkenaan selepas bertemu dengan jurusolek terbabit dalam sesi fotografi diaturkan BH, semalam.

Menurut bintang drama Tuan Anas Mikael itu, sumbangan daripadanya adalah hasil usaha beliau bersama anggota kelab peminat di Malaysia dan Singapura.

“Kutipan ini saya terima sesama kami di kelab peminat dari Malaysia dan Singapura.

“Baru-baru ini pun saya ada menyertai karnival jualan di Singapura dan ada di antara mereka yang bermurah hati menyumbang, sekali gus mengurangkan beban mangsa kebakaran itu.

“Hari ini, kami akan menentukan jumlah semua derma yang diberikan itu. Saya dan Alha akan cari tarikh yang sesuai untuk menyerahkan sumbangan, selewat-lewatnya mungkin minggu depan,” katanya.

Sementara itu, Alha yang sebelum ini pernah menarik perhatian apabila aksi beliau menyolek dirinya hingga kelihatan seperti bintang Bollywood, Shah Rukh Khan viral di media sosial, berkata, kutipan RM20,000 akan disalurkannya kepada pusat terbabit.

“Alhamdulillah, saya berjaya mengumpul RM16,000 daripada mereka yang datang belajar bersolek pada bengkel solekan amal saya anjurkan 16 September lalu hasil yuran RM250 seorang yang saya kenakan.

“Semua yuran saya peroleh itu akan diserahkan kepada mangsa tragedi. Saya turut menjual produk kosmetik sendiri, dengan hasil jualan mencecah RM4,000.

“Selepas tolak kos sewa tempat bengkel solekan dan beberapa perkara lain, insya-Allah sebanyak RM20,000 dapat dihulurkan kepada pusat tahfiz itu,” katanya.

Alha tergerak hati membantu dan mengajak orang ramai untuk sama-sama beramal kerana beliau sendiri pernah mengalami nasib sama, apabila rumah keluarganya di ibu kota terbakar dua hari sebelum raya.

“Saya sendiri dapat rasa apa yang pelajar tahfiz itu rasa. Rumah keluarga kami terbakar ketika saya masih kecil. Memang sebak apabila tempat kita berlindung hangus dijilat api,” kata Alha.

Sebelum ini, beberapa selebriti seperti Aaron Aziz dan Datuk Seri Vida antara yang terpanggil membantu mangsa tragedi kebakaran pusat tahfiz terbabit.

Tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan ialah kumpulan Usrah Suci yang diusahakan beberapa artis, termasuk Yatt Hamzah.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *