Ulam-Ulaman Yang Rosak Rahsia Warga Emas Ini Kekal Sihat Hingga Umur 116 Tahun

Dungun – “Sejak muda lagi saya makan sayur-sayuran dan ulam-ulaman yang rosak dimakan ulat kerana sayur yang segar sudah tentu mengandungi banyak racun dan tidak baik untuk tubuh badan,” kata Abdullah Mamat, 116, lelaki tertua di Terengganu.

Abdullah yang berasal dari Manir, Kuala Terengganu berkata, dia tidak mempunyai sebarang petua sebaliknya hanya mengamalkan minum air suam segelas sebelum dan selepas bangun tidur.

“Air yang direbus serta masakan yang dimasak menggunakan kayu api adalah lebih baik untuk kesihatan sekiranya diamalkan,” katanya ketika menerima Anugerah Lelaki Tertua di Terengganu sempena program Bulan Kebajikan Negara Peringkat Negeri Terengganu di Bandar Al Muktaffi Billah Shah, di sini.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud.

Menurut Abdullah, biar pun kini berada di penghujung usia, dia tetap mengamalkan kaedah itu sebagaimana yang diamalkan arwah bapanya.

“Saya masih boleh berjalan menggunakan tongkat dan pendengaran saya juga masih baik cuma penglihatan kurang jelas tanpa menggunakan cermin mata,” katanya.

Abdullah yang bekerja sebagai buruh dikurniakan empat anak hasil perkongsian hidup dengan isteri Nong Musa, 98, namun dua anaknya meninggal dunia ketika berusia tiga tahun.

“Dua anak lelaki meninggal dunia ketika kecil manakala usia anak perempuan kami juga tidak panjang apabila meninggal dunia ketika berusia 14 tahun.

“Saya dan isteri tinggal bersama anak bongsu yang kini berusia 63 tahun,” katanya yang mempunyai tiga cucu dan empat cicit.

Katanya lagi, dia dan isteri bersyukur dikurniakan umur yang panjang walaupun Allah mengambil tiga anak serta adiknya terlalu awal.

“Isteri saya masih sihat namun pendengarannya kurang jelas serta matanya juga sudah kabur,” katanya yang tidak menghidap sebarang penyakit kronik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *