Projek Rancangan Tebatan Banjir Di Kedah Bantu Kurangkan Masalah Banjir

SUNGAI PETANI – Pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) melibatkan beberapa sungai di Kedah dijangka berupaya mengurangkan masalah banjir yang berlaku, terutamanya sewaktu berlakunya air pasang dan hujan lebat yang berterusan.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pelaksanaan RTB Sungai Muda sebagai contoh, yang menelan belanja RM1.4 bilion dan siap pada 2015, berjaya mengurangkan masalah banjir di beberapa kawasan di daerah Kuala Muda.

“Kawasan yang terlibat banjir di daerah Kuala Muda kali ini adalah di kawasan tanah rendah, namun mungkin ramai lagi yang akan terjejas di daerah ini jika projek RTB Sungai Muda belum siap.

“Saya turut dimaklumkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa projek RTB Sungai Kedah, yang menelan kos RM641 juta yang meliputi tiga pakej akan siap menjelang 2019,” katanya kepada pemberita selepas melawat 293 mangsa banjir daripada 65 keluarga yang berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kechil, Mukim Bukit Meriam, Kota Kuala Muda, di sini, malam tadi.

Menurutnya, pelaksanaan projek RTB Pendang yang meliputi tiga pakej dan menelan belanja RM350 juta pula dijadual bermula tahun hadapan.

“Jika semua projek RTB yang dilaksanakan ini siap sepenuhnya kelak, aliran air ke laut akan lebih mudah dan dapat mengurangkan kejadian banjir seperti ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Bashah berkata, walaupun trend air dilihat menurun selepas dua hari banjir melanda beberapa daerah di negeri ini, namun semua jabatan dan agensi berkaitan diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga bagi berdepan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir.

“Kuala Muda mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai berbanding Kota Setar, Kubang Pasu dan Pendang, malah walaupun trend air menurun tetapi kami minta semua jabatan dan agensi terus mengawasi keadaan, khususnya di kawasan terjejas banjir.

“Ini kerana, berdasarkan laporan kaji cuaca, hujan dijangka turun lagi malah fenomena air pasang juga boleh menyebabkan berlakunya limpahan air walaupun tiada hujan,” katanya.

Beliau yang berpuas hati dengan persiapan yang dibuat bagi menghadapi banjir, turut menasihatkan semua penduduk agar mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkenaan sekiranya diminta berpindah ke pusat pemindahan bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah yang tiba di pusat pemindahan SK Bukit Kechil pada 10.45 malam, meluangkan masa meninjau keadaan mangsa banjir selain turut menyampaikan bantuan Barakah kepada semua keluarga mangsa banjir di situ.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Muda, Nordin Yahya; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Norizan Khazali; Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Kapten Pertahanan Awam Azahar Ahmad dan Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Merdeka, Datuk Ali Yahya serta wakil jabatan dan agensi berkaitan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *