FFM29: Zahiril Tak Letak Harapan Tinggi

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zahiril Adzim, enggan meletakkan harapan tinggi untuk meraih kemenangan pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) yang bakal mencapai kemuncaknya, esok.

Menyedari persaingan pada festival berkenaan amat sengit, Zahiril, 33, berkata andai nama dan filem lakonannya, Pekak, melekat dalam senarai Top 5, ia sudah dikira pencapaian membanggakan buatnya.

Katanya, jika pihak juri berasakan persembahannya layak untuk diletakkan dalam senarai calon akhir, beliau cukup bersyukur kerana paling tidak lakonannya mampu meninggalkan kesan.

“Sejujurnya, andai dapat menembusi senarai Top 5 pun, saya syukur dan berbangga. Semua orang tahu, bukan mudah untuk mendapat tempat dalam senarai akhir festival filem besar seperti ini.

“Saya bagaimanapun belum berkesempatan untuk menonton beberapa filem lain yang turut bertanding. Namun, berdasarkan apa yang dimaklumkan, karakter dalam Interchange dan Hanyut cukup kuat serta hebat.

“Jadi, rasanya agak mustahil untuk saya meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada festival ini,” katanya kepada BH Online.

Yakin Pekak sebuah naskhah yang baik, beliau tidak boleh terlalu mengharap kerana filem pesaing juga mempunyai peluang untuk dijulang pada FFM29.

Anugerah berprestij itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jam 9 malam esok, dengan bertemakan Transformasi Citra Karya. Ia turut disiarkan secara langsung oleh sebuah stesen televisyen berbayar.

Sebanyak 53 filem dipertandingkan pada acara kali ini, dengan 41 judul berbahasa Melayu, enam filem bahasa Mandarin, lima bahasa Tamil dan satu bahasa Inggeris.

FFM29 mempertaruhkan 24 kategori dengan 18 kategori pertandingan. Lima calon akhir bagi setiap kategori hanya akan diumumkan pada malam kemuncak anugerah.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *