Pintu Taubat, Tikar Sejadah Masih Terbentang Untuk Mahathir, Kata Nik Abduh

Pendedahan bekas Pengarah dan Penolong Ketua Audit Negara P Kanason Pothinker bahawa ‘orang atasan’ kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak membenarkan campurtangan urusan dagangan forex Bank Negara menunjukkan bentuk pemerintahan sebenar kerajaan ketika itu.

Kanason yang merupakan saksi yang dipanggil Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian BNM bernilai RM32 bilion akibat dagangan forex 1990-an berkata beliau menyedari tindakan bank pusat itu melanggar undang-undang.

Dalam keterangannya kepada panel RCI, Kanason berkata selepas mengetahui bank berkenaan melanggar Akta Bank Negara 1958 beliau membawa perkara berkenaan kepada pengetahuan Peguam Negara pada waktu berkenaan, Tan Sri Ainum Mohammed Saaiad yang kemudiannya menjanjikan akan memberi jawapan bertulis pada waktu berkenaan.

Malangnya, jawapan bertulis yang dijanjikan oleh Ainum tidak pernah diterima.

“Saya hubungi Tan Sri Ainum dan saya diberitahu oleh beliau dan seingat saya ‘orang atasan cakap jangan campur tangan’ dan saya dijanjikan maklum balas, dan menerima nasihat bertulis daripada Pejabat Peguam Negara mengatakan bahawa isu tersebut wajar diselesaikan antara ketua audit dan Gabenor Bank Negara,” katanya tanpa mendedahkan ‘orang atasan’ yang disebutkan.

Laporan NST dalam pada itu menyebut bahawa Kanason sangat beremosi ketika memberikan keterangan kepada ahli panel dengan mengetuk meja dengan kuat beberapa kali sehingga diarahkan berhenti berbuat demikian oleh salah seorang panel.

“Tidak. Saya tidak akan berhenti. Jika mereka dengar (nasihat) saya ketika itu saya yang kini berusia 78 tahun tidak perlu datang jauh-jauh ke sini untuk beri keterangan,” ujarnya dengan beremosi.

Dagangan berkenaan dikaithubung dengan pemerintan Dr Mahathir selaku Perdana Menteri sewaktu ianya berlangsung selain dua Menteri Kewangan yang berkhidmat sepanjang tempoh dagangan, Tun Daim Zainuddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berbanding sebelum ini berkuasa selaku Perdana Menteri, Dr Mahathir, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduk Nik Aziz, tidak lagi berkuasa.

Namun, Dr Mahathir masih dikurniakan umur panjang dan berpeluang untuk bertaubat.

“Nasib baik dia (Mahathir) PM masa itu. Tapi nasib baik juga dia masih hidup. Pintu taubat dan tikar sejadah masih terbentang untuknya..

“Cuma nasib tak baiknya ialah dia tak boleh lagi jadi hero. Masanya dah tamat. Anak muda boleh tinggalkan dia. Biarkan dia bersama para penjilatnya masa lampau untuk terus menjilat. PAS berlepas diri,” katanya dipetik Facebooknya. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *