ADUN PKR Berisiko Hilang Kerusi Kerana Muflis

Pemimpin pembangkang Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin, berisiko kehilangan kerusi DUN Klias berikutan notis kebankrapan yang diterimanya.

Notis itu dikaitkan dengan jumlah hutang terkumpul Lajim sebanyak RM160,951.81 dengan bank tempatan, menurut akhbar tempatan Sabah.

Daily Express melaporkan sebuah akhbar tempatan telah menerbitkan notis dari Pengarah Jabatan Insolvensi Sabah, Monica Linsua semalam, menimbulkan persoalan mengenai kelayakan Lajim mengekalkan kerusinya.

Notis itu dilaporkan berkata sebarang bayaran hutang oleh pengerusi Harapan Rakyat Sabah itu kepada CIMB Islamic Bank Bhd sepatutnya dibayar terlebih dahulu kepada jabatan itu, berikutan perintah mahkamah 14 September atas status kebankrapannya.

Perintah mahkamah dikeluarkan sejajar dengan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 26 Oktober tahun lepas.

Pada 15 Januari, Daily Express menyiarkan notis kebankrapan pertama terhadap Lajim, yang pada masa itu diberikan satu minggu untuk menjelaskan amaun tertunggak.

DUN tak sedar status Lajim

Sementara itu, timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Johnny Mositun, dipetik oleh The Star hari ini berkata beliau masih belum diberitahu secara rasmi bahawa Lajim telah diisytiharkan muflis.

 

“Kami akan tunggu dan lihat apa yang berlaku,” kata Mositun seperti dilaporkan.

Apabila dihubungi The Star, Lajim berkata: “Ini adalah perkara peribadi, jadi mengapa saya perlu ulas?”

Lajim, 61 yang pernah menjadi timbalan menteri Umno merupakan ADUN PKR untuk Klias dan menjawat pengerusi Pakatan Harapan Sabah.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *