Salah Guna Laman Sosial Punca Jenayah Seksual Kanak-Kanak

MELAKA – Salah guna laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan WeChat dikenal pasti sebagai salah satu punca berlakunya jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rafidah Abdul Aziz berkata golongan remaja berusia antara 13 hingga 15 tahun dilihat sebagai golongan yang paling berisiko kerana pada peringkat sekolah rendah mereka disifatkan masih mendengar nasihat ibu bapa, lapor Bernama.

“Justeru itu setiap individu perlu mempunyai pengetahuan mengenai langkah-langkah pencegahan dan cara mengendalikan situasi jenayah berkenaan.

“Isu jenayah seksual membabitkan kanak-kanak perlu ditangani segera dengan mengadakan pelbagai pendekatan dan kaedah yang dapat menimbulkan kesedaran orang ramai dalam memerangi gejala jenayah terbabit,” katanya kepada pemberita pada Diskusi Jenayah Seksual Kanak-kanak: Isu dan Cabaran yang berlangsung di Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka di sini hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri Datuk Latipah Omar yang juga Pengerusi Biro Wanita Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Turut hadir sebagai panel, Pegawai Penyiasat Cawangan D11 JSK Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Inspektor Suhaila Abd Razak.

Beliau berkata pelaksanaan pelbagai program mengenai penjelasan jenayah seksual kanak-kanak pada peringkat daerah dan negeri secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat tentang isu berkenaan,” katanya.

Rafidah berkata kerajaan menerusi agensi yang berkaitan sentiasa proaktif dan komited dalam usaha memastikan keselamatan kanak-kanak di negara ini terjamin.

“Daripada statistik JKM jumlah kes jenayah kanak-kanak di negara ini tahun lepas meningkat kepada 1, 034 kes berbanding 978 kes pada tahun sebelumnya.”Bagaimanapun, kes jenayah kanak-kanak terbabit menurun pada tahun 2014 iaitu sebanyak 984 kes berbanding 1,093 kes pada tahun sebelumnya (2013),” katanya.

Sementara itu, Suhaila berkata ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa memantau dan mengawal pergerakan anak mereka dengan tidak membiarkannya bersendirian hingga membuka peluang dan ruang kepada pelaku jenayah.

“Kita kena sentiasa berwaspada. Jangan biarkan kanak-kanak bersendirian kerana mereka masih belum dapat membezakan sekiranya ada individu yang berniat jahat terhadap mereka.

Katanya kesedaran dan tindakan kolektif daripada semua pihak amat penting dalam menangani dan membanteras jenayah seksual kanak-kanak dengan lebih berkesan agar tidak menyumbang kepada peningkatan peratusan mangsa jenayah seksual di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *