RM10 Juta Baik Pulih Kemudahan Pangsapuri Kos Rendah

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan semalam mengumumkan peruntukan kira-kira RM10 juta bagi membaik pulih kemudahan di pangsapuri kos rendah PKNS Taman Datuk Harun dan Desa Perangsang di Petaling Jaya.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata kerja membaik pulih itu akan dilaksanakan sendiri oleh kementeriannya dalam waktu terdekat bagi memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di kedua-dua pangsapuri berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau kedua-dua pangsapuri terbabit, beliau berkata peruntukan tersebut akan digunakan antaranya untuk menggantikan tangki air dan bumbung, menaik taraf longkang, pagar dan membaik pulih surau serta membina gelanggang futsal yang juga boleh digunakan sebagai dewan serba guna.

“Ini tanggungjawab kementerian untuk pastikan keselesaan golongan berpendapatan rendah yang mendiami pangsapuri lama terutamanya di bandar, nak mengharapkan kutipan badan pengurusan bersama mereka tidak mampu,” katanya.

Dalam pada itu, Noh yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Selangor meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi kerjasama dalam setiap projek yang dibangunkan kerajaan pusat.

Ini kerana katanya projek yang dijanjikan kerajaan pusat memerlukan kelulusan PBT sebelum dapat dilaksanakan dan adakala mengambil masa yang lama.

“Saya minta PBT bagi kerjasama supaya projek mengenai rakyat ini jangan dipolitikkan,” katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *