Pesta Arak Tetap Akan Diteruskan, Kata Exco Selangor

SHAH ALAM – Pesta arak ‘Better Beer Festival 2017’ tetap akan diteruskan walaupun penganjuran itu menerima bantahan daripada Pas.

“Negara kita adalah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, oleh itu Pas dibenarkan terus menyuarakan bantahan mereka, namun pesta arak ini tetap akan diadakan,” jelas Exco Kerajaan Selangor, Datuk Teng Chang Khim seperti disiarkan dalam Oriental Daily.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor mengenai pendirian partinya membantah penganjuran pesta arak, yang boleh mengundang kemarahan umat Islam di negara ini.

Pesta tersebut akan diadakan pada 5 dan 6 Oktober ini di Kuala Lumpur. Ia penganjuran kali ketiga selepas pertama kali diadakan pada 2012 dan kali kedua tahun lalu.

Pada 2012, ia diadakan di Taps Beer Bar di Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur dengan kehadiran 200 pengunjung.

Ini diikuti pada 2016 di Publika Shopping Gallery, dengan menyediakan 150 jenama arak dan dihadiri 3,500 orang.

Dijangkakan pada penganjuran tahun ini, penganjur membawa 250 jenama arak berbeza daripada 43 syarikat arak untuk memenuhi cita rasa pengunjung.

Menurut Dr Riduan, melihat kepada penganjuran festival itu, tentunya tidak ada masyarakat khususnya umat Islam mampu berdiam diri dengan membiarkan penganjur sewenang-wenangnya mengadakan ‘pesta maksiat’ buat ke sekian kalinya di Kuala Lumpur.

“Adalah sesuatu yang memalukan buat negara Islam seperti Malaysia, apabila program mungkar mudah mendapat tempat di hati masyarakat dan dibiarkan penganjurannya tanpa halangan.

“Kita tidak sanggup jika Kuala Lumpur dikenali oleh dunia sebagai pusat maksiat terbesar di Asia,” katanya.

Ketika memberitahu Sin Chew Daily pula, Dr Riduan menjelaskan, buat masa ini partinya masih belum membuat sebarang keputusan untuk mengadakan perhimpunan aman bagi membantah penganjuran pesta arak oleh pengedar bir, MyBeer (M) Sdn Bhd.

Beliau membidas kerajaan kerana sengaja dibiarkan bagi mengaburi mata, danĀ  memenuhi kehendak segelintir masyarakat yang dahagakan budaya liar dan hedonisme.

“Jika penganjuran 2017 berjaya, tidak mustahil aktiviti berskala lebih besar akan diadakan pada tahun-tahun mendatang.

“Apakah jaminan keselamatan dapat diberikan kepada orang awam yang tidak terlibat seperti berlaku jenayah, seks bebas, rogol dan lain-lain,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *