Malaysia Kekalkan Rekod Tanpa Kalah AFF B18

KUALA LUMPUR – Satu mata sahaja sudah memadai untuk Malaysia muncul juara Kumpulan A setelah terikat 1-1 dengan Thailand dalam kempen Kejohanan Bola Sepak AFF Bawah 18 tahun (B-18) di Yangon hari ini.

Kejayaan tersebut sekali gus membolehkan skuad bola sepak kebangsaan meloloskan diri ke peringkat separuh akhir pada 15 September ini menentang naib juara Kumpulan B.

Menanti skuad kebangsaan di separuh akhir itu sama ada Vietnam, Indonesia atau Myanmar, sejurus mereka melengkapkan perlawanan Kumpulan B esok.

Terdahulu, saingan akhir peringkat Kumpulan A itu yang berlangsung di Stadium Thuwunna, Yangon menyaksikan skuad bimbingan Bojan Hodak berjaya membuka jaringan menerusi Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-50.

Bagaimanapun 13 minit selepas itu, penyerang Thailand, Kritsada Kaman menyamakan kedudukan untuk kedua-dua pasukan seri 1-1.

Ini menyaksikan skuad negara mengekalkan rekod tanpa kalah dengan empat kemenangan dan satu seri dalam Kumpulan A. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *