‘Awek Bomba’ Curi Perhatian

Kalau dulu sering kita dengar perkataan ‘abang bomba’ namun kini di laman media sosial heboh tentang dua orang ‘awek bomba’.

Dua orang gadis bomba yang dimaksudkan merupakan antara 40 pegawai dan anggota yang telah ditugaskan untuk memadam kebakaran di Pasar Besar Seremban Sabtu lalu.

Aksi berani dan lasak mereka telah menarik perhatian netizen selepas gambar mereka tular di internet.

Anggota yang dimaksudkan adalah, Nor Maisarah Ibrahim, 27 dan Siti Norhaliza Zakaria, 19. Aksi mereka yang sedang mengangkat peralatan memadam kebakaran telah dirakamkan dan kemudian dimuat naik di media sosial.

Menurut Maisarah, dia pada mulanya tidak mengetahui tentang gambarnya yang tular di media sosial namun selepas seorang rakannya berkongsi gambar tersebut di aplikasi Whatsapp barulah dia menyedari tentang hal itu, petik MH.

“Saya tak perasan pun ada yang ambil gambar kerana tengah fokus bertugas bersama anggota lain. Lagipun ketika itu keadaan gelap dan orang agak ramai,” ujarnya.

Katanya lagi dia memang seorang yang sudah biasa dengan melakukan aktiviti lasak kerana minat dengan cabaran dan sukan lasak sejak dari sekolah lagi.

Dia juga memberitahu bahawa sebelum ini dia pernah bertugas sebagai seorang jururawat namun akhirnya menukar kerjaya sebagai anggota bomba kerana meminati kerjaya ini.

“Sebelum ini, saya bertugas sebagai jururawat tetapi menukar kerjaya sebagai anggota bomba kerana minat,” katanya.

Sementara itu, Siti pula berkata pada awalnya dia berasa malu dengan gambarnya yang tular di laman sosial itu.

Namun dia tidak menyangka ramai pula yang memberi semangat serta dorongan untuk dirinya terus berkhidmat sebagai anggota bomba.

“Saya tak pernah terfikir pun nak jadi bomba dan tak minat pun. Tapi selepas cuba menyertai pasukan ini, rasa teruja dengan kerjaya ini timbul.

Katanya lagi, dia juga berasa bangga sebagai seorang wanita, dia mampu untuk bekerja di dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum lelaki ini.

Bagi dirinya juga, kerjaya ini telah mendidik dia untuk menjadi seorang yang lebih berdisiplin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *