Tuan Ibrahim Sindir Mahathir, Suruh Lihat Cermin Dulu

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man telah menyindir pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya cermin diri dahulu sebelum menuduh parti PAS sebagai perosak.

“Kalau nak dituduh PAS perosak, lihatlah cermin dahulu siapa yang konsisten, siapa yang sentiasa U-turn,” demikian pedasnya sindiran Tuan Ibrahim sebagai menjawab tulisan terbaru Mahathir di dalam blognya yang bertajuk ‘Undi PAS = Undi BN’.

Menurut Tun Ibrahim, terpulang kepada parti itu untuk bertanding walaupun ia melibatkan tiga penjuru kerana itu hak demokrasi masing-masing.

“Suka hatilah siapa yang ingin masuk gelanggang di kerusi-kerusi tradisi PAS untuk menjadikan ia peperangan tiga penjuru, itu hak demokrasi masing-masing,” katanya yang menegaskan perjuangan PAS tidak pernah berubah.

Mahathir dalam blognya berkata, dalam kebanyakan kawasan yang ditandingi oleh PAS, peranannya hanyalah sebagai pengacau iaitu pemecah undi pembangkang. PAS sendiri akan kalah dalam kebanyakan kawasan yang ditandingi dan kekal berada dalam barisan pembangkang.

“Tidak ada satu pun dari perjuangannya yang didakwa untuk Islam yang dapat dicapai olehnya sejak ia ditubuh,” kata Mahathir.

Malah kata Tuan Ibrahim, PAS meletakkan Islam di tangga teratas dalam perjuangannya kerana ia agama yang lengkap, adil dan sempurna.

“Kami tidak menerima Islam hanya sekadar ibadah dan aqidah kerana Allah memerintahkan kita menganut Islam seluruhnya,” katanya yang membidas tuduhan Mahathir bahawa PAS kononnya menyokong UMNO kerana kecewa apabila PAS tidak mahu bersama dalam Pakatan Harapan.

Hanya disebabkan keengganan PAS itu, maka parti itu telah dituduh, difitnah dan diserang..

Tuan Ibrahim turut mengulas mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dilaksanakan semasa Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

“Sesiapa yang mempertikaikannya perlu berdepan dengan senjata yang bernama ISA yang sedia digunakan Tun dengan sewenang-wenangnya. Malah sehingga hari ini, semua rakyat masih melawan sistem yang ditinggal Tun termasuk Tun sendiri,” katanya.

Malah ketika Mahathir memerintah, Tuan Ibrahim berkata, pembangkanglah paling hebat ditekan, ditindas sehingga pelbagai tragedi berlaku.

“Royalti minyak Kelantan tidak diberi, malah royalti minyak Terengganu dijadikan wang ehsan sejurus PAS mengalahkan UMNO di Terengganu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *