Kelayakan Piala Asia 2019: Pemain Luah Kebimbangan

KUALA LUMPUR – Ancaman serangan ke atas Korea Utara oleh beberapa negara khususnya Amerika Syarikat, nyata mengundang rasa bimbang di kalangan pemain skuad Harimau Malaya yang dijadualkan beraksi bagi aksi ketiga kempen kelayakan Piala AFC 2018 di Pyongyang, 5 Oktober ini.

Pertahanan kiri negara, Nazirul Naim berkata, isu keselamatan tidak boleh dipandang mudah dan berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sentiasa memantau perkembangan di republik itu, lapor BH.

“Buat masa ini kalau boleh FAM ambil tindakan memantau situasi di sana dengan mendapatkan pandangan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) serta AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).

“Walaupun perlawanan bola sepak penting, keselamatan kami lagi utama.

“Memang takut sebab kita sekarang dah zaman moden, namun ancaman peperangan dan masalah politik di negara berkenaan dilihat tidak begitu stabil untuk pasukan ke sana.

“Apapun, terserah kepada pengurusan dan FAM. Cuma sebagai manusia biasa, rasa bimbang itu memang ada, risau jika sesuatu buruk berlaku ketika aksi membabitkan pasukan negara,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, AFC tetap dengan pendirian untuk meneruskan aksi antara Korea Utara dan Malaysia di Pyongyang walaupun ketika ini wujud kegusaran kemungkinan tercetusnya perang di negara Asia Timur itu.

Ia susulan kejayaan kerajaan tentera Kim Jong-un melancarkan ujian nuklear keenam yang kemudiannya mencetuskan kecaman global terutama dari Amerika Syarikat yang melihat tindakan itu sebagai meminta-minta untuk berperang.

Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John, pihaknya akan memantau dari semasa ke semasa perkembangan politik di negara berkenaan.

Katanya, berdasarkan aksi Korea Utara dan Lubnan yang diadakan di Pyongyang pada 5 September lalu, tuan rumah berjaya mengendalikan perlawanan itu dengan baik.

Malah, aksi membabitkan wakil kelab Korea Utara iaitu 4.25 FC dalam saingan Piala AFC yang bakal bertemu Bengaluru FC di Pyongyang hari ini, turut akan dipantau AFC.

Bagi tonggak tengah kebangsaan, Baddrol Bakhtiar, dia mengakui bersedia untuk beraksi dan mahu berjuang habis-habisan untuk menjamin tiga mata penuh.

“Soal takut atau tidak bagi saya ia perkara kedua. Paling mustahak kami kena dapatkan kemenangan biarpun terpaksa masuk ke negara itu,” katanya.

Ketika ini, skuad kendalian Nelo Vingada berada dalam situasi terdesak untuk meraih kemenangan selepas sekadar memungut satu mata daripada dua perlawanan apabila tewas 1-2 kepada Lubnan dan seri 1-1 ketika menentang Hong Kong di Larkin, minggu lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *