DAP Dominan Dalam PH, Dibayangi Agenda Evangelis Kristian, Kata Pemuda PAS

KUALA LUMPUR – DAP sebenarnya berselindung wajah hipokritnya dan menjadikan rakan-rakan parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) sebagai proksi.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindak tanduk DAP jelas mahu menjadi dominan dalam PH dan menentukan setiap tindakan gabungan pembangkang itu.

“Mutakhir ini api tersebut sering dicetuskan DAP yang menyemarakkan hasutan kebencian dan tuduhan terutama terhadap usaha agama dibawa Pas.

“Ketika sama, pergerakan DAP turut dibayangi agenda Evangelis Kristian dan bercita-cita menawan untuk mengsekularkan negara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Khalil, keadaan itu mendedahkan hakikat bahawa undi kepada parti di dalam PH bermakna memberi undi kepada DAP.

Sementara itu, Pemuda Pas kini bersiap siaga menempuh cabaran pertembungan berapa penjuru sekalipun yang mungkin berlaku dengan strategi diolah sesuai lunas demokrasi serta peraturan pilihan raya.

“Dalam pertarungan yang berlaku nanti, parti mana jua kami hadapi atau menentang kami, bererti mereka adalah musuh untuk kami tewaskan.

“Oleh itu, kami tegaskan, tiada sebarang kompromi kepada BN mahu pun PH,” tegasnya.

Anak kepada Presiden Pas itu juga mendakwa kemaruk kuasa menyaksikan terdapat pihak dari PH yang berhubungan dan mengundang entiti asing.

“Ia merisikokan kepada campur tangan luar yang boleh menjahanamkan negara sepertimana terjadi kepada beberapa negara di Timur Tengah.

“Paling dikesali apabila menjadikan Islam sebagai mangsa dan sasaran serangan dengan mempertikai dan menghina serta membibitkan pelbagai rasa tidak puas hati,” kata Muhammad Khalil.

Dewan Pemuda Pas juga optimis sasaran parti memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen akan tercapai.- MalaysiaGazette

One thought on “DAP Dominan Dalam PH, Dibayangi Agenda Evangelis Kristian, Kata Pemuda PAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *