Bukan Erra Fazira Yang Dorong – Shahir

KUALA LUMPUR: Juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir, menyangkal dakwaan kononnya beliau kembali ke bidang nyanyian atas dorongan wanita yang sering digosipkan dengan dirinya, Erra Fazira.

Kemunculan semula selepas kira-kira tiga tahun itu juga, katanya, bukanlah satu petanda mereka kononnya bakal mendirikan rumah tangga.

Bercakap kepada BH Online, pemilik nama penuh Ahmad Shahir Zawawi ini berkata, keputusannya untuk kembali ke dunia seni adalah atas galakan peminat dan bukannya atas sebab berunsur peribadi.

“Semuanya berlaku ketika bulan puasa tahun lalu apabila ada peminat menelefon saya mengajak untuk mengadakan majlis berbuka puasa beramai-ramai. Ketika itulah juga mereka bertanya, mengapa saya tidak kembali ke bidang seni suara?

“Keputusan untuk kembali aktif ini disebabkan peminat dan bukannya kerana ingin berkahwin. Setahu saya, syarat sah untuk berkahwin tidak memerlukan saya untuk menjadi penyanyi,” seloroh Shahir sambil ketawa kecil.

Menurut penyanyi ini, yang akan genap berusia 29 tahun pada 5 September depan, hasrat untuk kembali ke bidang seni memang sudah lama tersimpan dalam hati. Justeru, tawaran untuk menyertai program realiti AF Megastar dianggap sebagai laluan mudah untuknya merealisasikan hasrat berkenaan.

“Saya juga berjanji takkan menghilang lagi selepas ini,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media mengumumkan peserta program realiti terbabit, di sini.

Diusik dengan pertanyaan apakah Erra mengetahui beliau terpilih untuk menyertai program berkenaan, sambil mengiyakan Shahir berkata, pelakon wanita terbabit turut menyokong keputusannya untuk terbabit sama dalam rancangan itu.

Berbanding Shahir yang dulu, jejaka berasal dari Ipoh, Perak, ini kini kelihatan lebih segar dan semakin tampan. Mungkinkah faktor dirinya sedang hangat dilamun cinta, membuatkan beliau semakin menjaga penampilan?

“Sebagai penyanyi, saya kenalah jaga penampilan. Bukan kerana disuruh oleh sesiapa,” katanya sambil menyatakan, kematangan usia juga membuatkannya lebih peka dalam soal berkenaan.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *