Warga Emas Tunggang Motor Kibar Jalur Gemilang Sejauh 200km

SEREMBAN – Seorang warga emas mempunyai cara tersendiri menunjukkan semangat patriotisme dengan menunggang motosikal sejauh 200 kilometer sambil berbaju Melayu ‘Jalur Gemilang’.

Jamaluddin Malek, 65, akan menempah baju Melayu setiap tahun dan memakainya pada sambutan kemerdekaan, 31 Ogos.

Dia kemudian akan menunggang motosikal bermula dari rumah di Rumah Pangsa Lobak, Seremban ke Melaka dan Johor sejauh 200 kilometer sebelum pulang semula ke rumahnya.

Katanya, itu adalah caranya menunjukkan semangat cinta kepada tanah air sejak 17 tahun lalu.

“Setiap kali sambutan kemerdekaan, saya akan keluar rumah pada jam 3.30 pagi dan menjelajah ke tiga negeri berkenaan. Sepanjang perjalanan itu, pasti ada pengguna jalan raya yang membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

“Apabila saya berhenti di lokasi tertentu, orang ramai akan mengerumuni saya dan mengajak saya bergambar tanpa mengira bangsa, usia. Ia menaikkan lagi semangat saya,” katanya ketika ditemui di rumah anaknya di Rumah Rakyat Panchor, di sini, semalam.

Bercerita mengenai baju Melayu itu, Jamaluddin berkata, dia sudah menempah baju berkenaan minggu lalu menggunakan 10 helai Jalur Gemilang.

“Sememangnya agak sukar untuk tukang jahit membuat baju Melayu menggunakan Jalur Gemilang disebabkan jenis kainnya tidak berapa sesuai.

“Namun atas semangat saya, dia sanggup membuat pakaian ini dengan kadar upah RM90,” katanya yang turut mendapat sokongan isteri serta lima anaknya. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *