NGO Gesa Siasat Ahli Majlis MBPP Duduki Rumah PPR

GEORGE TOWN — Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang supaya menyiasat dua ahli majlis dalam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang dipercayai menyalah guna kuasa.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang Sophian Mohd Zain berkata menerusi laporan yang dibuat pihaknya bersama dua lagi NGO iaitu Rakyat Marhen dan Kota, mereka turut menyerahkan beberapa dokumen yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan ke atas dua ahli majlis itu.

“Laporan pertama membabitkan seorang ahli majlis yang menerima elaun ahli majlis sebanyak RM4,000 sebulan tetapi masih tinggal di rumah PPR dengan kadar sewa RM110 sebulan.

“Rumah PPR itu adalah untuk golongan miskin dan bagaimana beliau yang merupakan seorang ahli majlis MBPP iaitu yang berperanan sebagai penggubal dasar bagi pihak berkuasa tempatan boleh tinggal di situ,” katanya kepada pemberita ketika hadir di SPRM Pulau Pinang, di sini untuk membuat laporan itu.

Sophian berkata laporan kedua pula membabitkan seorang ahli majlis MBPP yang didakwa turut dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) negeri Pulau Pinang dan apa yang menjadi persoalan adalah tentang pelantikan lelaki itu untuk kedua-dua jawatan yang dibayar elaun.

“Kami pernah membuat aduan ini secara lisan kepada exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab namun tiada tindakan.

“Sebab itu hari ini kami tampil di SPRM bagi menggesa suruhanjaya itu menyiasat dua laporan itu sama ada dua ahli majlis tersebut salah dari segi undang-undang atau salah guna kuasa, kami minta mereka siasat secara terperinci,” katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *