Kanak -Kanak 7 Tahun Maut Gara-Gara Tercekik Biji Buah Mata Kucing

BACHOK – Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut selepas tercekik biji buah mata kucing di Kuarters Pusat Rawatan dan Pemulihan ( CCRC) Kandis di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, mangsa, Aina Fariha Mohd. Fadzil meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bachok.

Bapanya, Mohd. Fadzil Mohamad, 36, berkata, anaknya yang dalam keadaan lemas selepas tercekik buah berkenaan sempat meminta tolong daripadanya

Katanya, dia cuba memberi bantuan dengan menepuk belakang dan pelbagai kaedah lain untuk mengeluarkan biji buah tersebut, namun gagal.

“Aina datang meminta izin kepada saya untuk makan sebiji lagi buah mata kucing. Sebelum itu, Aina telah makan banyak buah tersebut kerana dia suka sangat buah mata kucing.

“Selepas mengambil buah ini, Aina naik ke atas rumah sebelum turun semula dan datang kepada saya dalam keadaan sudah tercekik. Saya telah cuba membantu dengan pelbagai cara untuk menyelamatkanya.

“Kemudian saya bawa Aina ke klinik dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri. Di klinik doktor memberi bantuan pernafasan dan mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui selepas pengkebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Tok Jawa Teratak Pulai, Jelawat di sini hari ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *