Rakyat Malaysia Cuba Seludup 40kg Syabu

KUALA LUMPUR – Tiga rakyat Malaysia adalah antara lima ditahan selepas didapati cuba menyeludup 40 kilogram (kg) syabu dari negara ini ke Acheh, Indonesia, kelmarin.

Menurut BH, mereka yang hanya dikenali sebagai M Tajul, Saiful dan Zulkifli ditahan selepas Badan Narkotik Nasional (BNN) Polis Republik Indonesia, menerima maklumat berhubung cubaan membawa masuk dadah berkenaan menerusi jalan laut kira-kira jam 7.30 malam.

Hasil pemeriksaan bot milik Tajul di jeti, polis menemui dua guni mengandungi 40 kg dadah dipercayai syabu sebelum menahan ketiga-tiga suspek.

Timbalan Ketua Unit Pencegahan BNN, Jeneral Arman Depari, berkata susulan siasatan ke atas mereka, dua warga Indonesia dikenali sebagai Dahlan dan Musriadi ditahan tidak lama selepas itu.

“Kedua-duanya yang dipercayai menunggu bekalan dadah berkenaan, ditahan di Jalan Medan-Banda Acheh Kota, Panton Labu, Acheh Utara.

“BNN masih mengesan suspek lain termasuk pembeli yang cuba mendapatkan bekalan,” katanya dipetik media ANTARA Indonesia.

Dalam serbuan sama, BNN turut merampas dua kereta dan enam unit telefon bimbit.

Indonesia memperuntukkan hukuman mati kepada penyeludup, pengedar dan individu yang memiliki dadah dalam jumlah tertentu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *