Pertumbuhan KDNK Malaysia Tahun Ini Dijangka Cecah 5.0 Peratus

KUALA LUMPUR – Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk 2017 akan disemak semula dan dinaikkan berbanding sasaran awal antara 4.3 peratus dan 4.8 peratus berikutan jangkaan perkembangan ekonomi mencecah 5.0 peratus tahun ini, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan pertumbuhan KDNK yang kukuh sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama serta pengumuman terbaharu bahawa ia mencecah 5.8 peratus pada suku kedua yang berakhir pada Jun, 2017.

“Berdasarkan prestasi pada suku pertama dan kedua itu, saya yakin kita mampu mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak 5.0 peratus untuk tahun penuh 2017,” katanya pada majlis makan malam Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) di sini, malam ini.

Mengulas selanjutnya, Johari berkata kemantapan sistem kewangan negara terus mendorong pertumbuhan dengan memastikan pengantaraan kewangan itu kekal tidak tergugat.

Malah, kata beliau, demi memastikan kesejahteraan ekonomi itu terus meningkat, kerajaan komited untuk melaksanakan pembaharuan serta inisiatif untuk terus mencapai potensi pertumbuhan.

“Kita akan meneruskan dasar properniagaan, melabur dalam infrastruktur awam berkelas dunia, menarik lebih banyak pelaburan serta menambah baik sistem pencukaian bagi menjadikannya lebih cekap.

“Pada masa sama, kita juga akan terus berusaha memastikan pengukuhan budaya tadbir urus dalam aspek korporat serta awam,” katanya.

Jelas beliau, pembangunan modal insan terus menjadi elemen penting bagi memastikan kelangsungan daya saing ekonomi Malaysia.

“Sejajar aspirasi kerajaan untuk membangun serta melahirkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2020, kita telah melipatgandakan usaha memastikan kewujudan akauntan yang berkualiti serta mantap.

“Sehubungan itu, saya percaya badan-badan perakaunan seperti MICPA perlu terus bekerjasama dengan insitusi pengajian tinggi bagi menggalakkan kepentingan pensijilan profesional dalam kalangan penuntut jurusan itu,” katanya.

Johari berkata, sejajar kepesatan perkembangan liberalisasi sektor perkhidmatan di peringkat global dan ASEAN, Malaysia juga perlu pantas menarik golongan akauntan ke sini dan mewujudkan persekitaran serba kondusif bagi mengekalkan bakat cemerlang di peringkat domestik.

“Seiring usaha pembangunan bakat secara menyeluruh dan pelaksanaan teknologi baharu, saya menggesa semua pihak untuk menumpukan aspek peningkatan semula kemahiran tenaga sedia ada dan mengambil bakat yang layak bagi memenuhi permintaan dalam persekitaran ekonomi baharu.

“Justeru, saya percaya MICPA berada di kedudukan terbaik untuk membantu kalangan profesional perakaunan melengkapkan diri dengan kemahiran relevan menerusi pelbagai program dan persidangan,” katanya.

Beliau juga menggesa agar kerjasama pihak berkepentingan daripada peringkat syarikat multinasional sehingga pihak pengawal selia terus dipergiatkan bagi pemantapan kerjaya itu.

“Bersandarkan aspek itu, kita yakin MICPA terus menjadi peneraju bagi memastikan program-program profesional itu kekal relevan untuk bakal-bakal akauntan di negara ini,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *