Lubnan Mansuh Undang-Undang Bebas Perogol Kahwini Mangsa

BEIRUT – Lubnan hari ini menyertai negara Arab lain dalam memansuhkan undang-undang yang membenarkan perogol terlepas hukuman jika mereka berkahwin dengan mangsa.

Menurut Reuters, langkah itu dialu-alukan juru kempen hak asasi wanita, lapor BH.

Susulan keputusan Jordan memansuhkan undang-undang itu awal bulan ini dan Tunisia pada bulan lalu, pembuat dasar Lubnan mengundi tindakan sama untuk menghapuskannya menerusi Artikel 522 Kanun Jenayah negara itu.

Artikel itu memasukkan peruntukan yang membolehkan perogol terlepas hukuman jika berkahwin dengan mangsa.

Penghapusan undang-undang itu juga susulan kempen panjang oleh aktivis.

“Ini sudah pasti satu langkah yang perlu diraikan semua wanita di Lubnan,” kata Roula Masri dari kumpulan hak asasi tempatan, Abaad kepada Thomson Reuters Foundation menerusi telefon.

Abaad berkempen menentang undang-undang itu selama lebih setahun, memaparkan iklan wanita dalam keadaan berdarah memakai gaun pengantin yang koyak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *