KLIA Bakal Diperbesar Selepas 2020, Jadi Hab Transit

KUALA LUMPUR ― Kerajaan merancang untuk memperbesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas 2020 berikutan jumlah penumpang yang menggunakan terminal udara itu dijangka meningkat melebihi 30 peratus kata Timbalan menteri pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Beliaj berkata, pelan jangka masa panjang itu termasuk bagi membina bangunan terminal satelit baharu, lapor Bernama.

Katanya, kerajaan telah meneliti kepesatan industri penerbangan di negara ini dengan KLIA hanya mampu menampung jumlah penumpang sedia ada sehingga 2020.

“Jumlah penumpang yang menggunakan KLIA meningkat secara mendadak dengan tahun 2016 seramai 89 juta orang berbanding hanya 45.2 juta penumpang pada tahun 2006, peningkatan hampir 100 peratus.

“Ini merupakan satu kejayaan buat negara kita sekali gus menjadikan KLIA sebagai hab transit di rantau ini setanding dengan Lapangan Terbang Changi, Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, pada persidangan Dewan Negara, Ab Aziz menjawab soalan tambahan senator Datuk Mohd Salim Bin Sharif @ Mohd Sharif yang ingin tahu jumlah penumpang yang menggunakan KLIA dan perancangan kerajaan terhadap lapangan terbang itu pada masa depan.

Dalam pada itu, beliau berkata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sentiasa mengawal selia persaingan syarikat-syarikat penerbangan dan melarang sebarang tindakan dan bentuk persaingan yang tidak adil dalam apa-apa pasaran perkhidmatan penerbangan.    

“Namun, Mavcom tidak meletakkan sebarang peraturan terhadap jadual waktu penerbangan syarikat-syarikat penerbangan, memandangkan ia merupakan keputusan komersial setiap syarikat itu, situasi ini tidak dilihat mengenepikan kebajikan penumpang.

“Sebaliknya, penumpang mempunyai lebih ruang untuk membuat perancangan,” katanya menjawab soalan senator Abdullah Mat Yasim mengenai tindakan kerajaan berhubung persaingan di antara syarikat penerbangan yang mempunyai jadual waktu penerbangan hampir sama. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *