Emas Pertama Milik Negara

KUALA LUMPUR – Emas pertama kontinjen negara pada Sukan SEA 2017 muncul menerusi sukan sepak takraw chinlone apabila menewaskan Filipina di pentas final acara linking yang berlangsung di Stadium Tertutup Titiwangsa.

Memetik laporan BH, ia juga adalah emas pertama Malaysia dalam sukan chinlone sejak mula dipertandingkan di Sukan SEA Myanmar pada 2013.

Pasukan negara yang dibarisi Muhammad Faiz Roslan, Ab Muhaimi Che Bongsu, Mohammad Kamal Aizzat Azmi, Izuan Affendi Azlan, Iskandar Zulkarnain Salim, Putera Aidil Israfil Kamaruzaman, Mohamad Azlan Alias dan Muhammad Zaim Razali muncul juara dalam disiplin linking dengan pungutan 391 mata keseluruhan.

Pingat perak menjadi milik Filipina yang mengumpul 271 mata di pentas final manakala Brunei ketiga dengan 157 mata.

Pada set pertama skuad negara yang dibarisi enam pemain memenangi set pertama dengan 197 mata dengan lawan sekadar 133 mata.

Aksi bertenaga diteruskan pada set kedua apabila Malaysia mengumpul 194 mata dengan lawan mengumpul 138 mata.

Filipina berpuas hati dengan perak manakala Brunei yang gagal mara ke final meraih gangsa.

Untuk rekod, pada penampilan di temasya dua tahun lalu di Singapura, Malaysia muncul pemenang pingat gangsa dalam acara sama dan meraih perak acara Non-Repetition.

Acara chinlone adalah sukan tradisi di Myanmar dan mula diperkenalkan pada Sukan SEA ketika negara itu menjadi tuan rumah temasya berkenaan pada 2013.

Chinlone memerlukan kemahiran pemain untuk menimbang bola takraw mengikut disiplin berdasarkan kategori.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *